fbpx

HALUAN Terima Kunjungan Hormat MDKL

HALUAN Terima Kunjungan Hormat MDKL

HALUAN Terima Kunjungan Hormat MDKL

BANGI, SELANGOR, 23 Oktober 2012 — Seramai sembilan orang ahli Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) telah membuat kunjungan hormat ke ibu pejabat HALUAN Malaysia di sini. Ketibaan mereka yang diketuai oleh setiausaha kelab, Tn Hj Fauzi Din, telah disambut dengan besar hati oleh Naib Presiden 2 HALUAN Malaysia, Sr Hj Mohd Sabbri Md Yudin.

Sempena kunjungan itu, Tn Hj Fauzi telah menyerahkan 26 kotak barangan bantuan berbentuk pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak. Di samping itu Ketua Biro Wanita kelab berkenaan, Cik Faezah Norjinal, turut menyampaikan sumbangan kewangan oleh warga MDKL sebanyak RM383.

Sebagai meraikan kehadiran warga MDKL ini, Sr Hj Mohd Sabbri telah mengadakan sesi berkongsi maklumat tentang aktiviti kebajikan yang dilaksanakan oleh HALUAN. Dalam sesi tersebut, Tn Hj Fauzi menyuarakan pertanyaan sekiranya HALUAN menjalankan usaha bagi merapatkan hubungan di antara golongan tua dan muda. Sebagai menjawab, Sr Hj Mohd Sabbri berkata, “memang kami cuba giatkan program seperti itu dan sebahagiannya sudah berjalan dengan baik. Contohnya di Masjid An-Naim di Jalan Kebun, Shah Alam, di mana HALUAN membuat program kerjasama bagi memupuk ukhuwah golongan belia dan warga tua. Di situ anak-anak muda dilatih dengan program secara tersusun dan selalu dilibatkan dengan program bersama masyarakat.”

Majlis ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan jamuan.

HALUAN Malaysia sangat menghargai kunjungan dan sumbangan yang diberikan oleh warga MDKL ini, khususnya pihak kepimpinan dan semua ahli Kelab Sukan dan Kebajikan. Semoga persefahaman dan kerjasama lebih erat akan terbentuk dalam usaha mendidik masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan.