fbpx

HALUAN susun bantuan ke Sumatera

HALUAN susun bantuan ke Sumatera

HALUAN susun bantuan ke Sumatera

HALUAN akan menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa tragedi gempabumi di Kepulauan Sumatera, Indonesia.


Gempabumi kuat telah sekali lagi melanda kepulauan Sumatera pada pukul 08:52 pagi Khamis 1 Oktober. Ini merupakan kejadian gempa kali kedua melanda daerah berkenaan, selepas gempa pertama yang berlaku pada pukul 5:16 petang Rabu yang mengorbankan 500 nyawa. Kurang dari 24 jam sebelum gempa kedua ini, kepulauan Pasifik Selatan juga telah dilanda tsunami besar akibat gempa bermagnitud sehingga 8.3.

Menurut kenyataan Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, John Holmes, sekurang-kurangnya 1,100 orang telah disahkan mati akibat gegaran kedua yang bermagnitud 7.6 itu. Manakala lebih dari 2,400 orang lagi dilaporkan tercedera dan ribuan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan. Pasukan-pasukan bantuan dan penyelamat berhempas pulas, dalam suasana hujan lebat dan keputusan bekalan elektrik, mencari mangsa-mangsa di bawah runtuhan ratusan bangunan. Menurut Menteri Kesihatan Indonesia, Siti Fadilah Supari, gempa kali ini adalah lebih dahsyat daripada gempa yang pernah melanda Yogjakarta pada tahun 2006, di mana 3000 nyawa telah terkorban.

Padang, bandar terbesar di Sumatera Barat yang mempunyai 900,000 orang penduduk adalah kawasan yang paling teruk dilanda kemusnahan. Antaranya, dilaporkan sekurang-kurangnya 80 orang hilang apabila Hotel Ambacang setinggi 5 tingkat runtuh akibat gegaran.

Usaha bantuan pada ketika ini adalah amat sukar kerana hujan lebat dan bekalan elektirik dan telekomunikasi terputus. Semua jalan yang menghubungkan bandar Padang ke daerah lain terputus akibat tanah runtuh. Laluan udara juga terjejas apabila atap bangunan terminal lapangan terbang runtuh.

Walaupun usaha bantuan bertumpu pada kawasan Padang, daerah dan bandar-bandar berdekatan juga menjadi kebimbangan besar. Seorang saksi, Hafiz, menyatakan kepada media tempatan bahawa beliau melihat banyak rumah-rumah dilitupi tanah runtuh di bandar peranginan Maninjau.

HALUAN telah membuat perancangan untuk turut menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana ini. Menurut Ketua Biro Bantuan Kemanusiaan HALUAN, Dr Syed Muhammad Haleem, pasukannya sedang mengumpul maklumat-maklumat penting bagi menyusun strategi dan bentuk bantuan yang akan disalurkan ke Sumatera. “Dalam pada itu, kita berharap semua relawan HALUAN supaya dapat membuat persediaan minda dan fizikal dengan sebaiknya, supaya mereka dapat dihantar ke sana pada bila-bila masa sekiranya perlu,” kata Dr Syed Muhammad Haleem. “Sudah ada dari kalangan ahli-ahli HALUAN yang mendaftarkan diri untuk dihantar menjadi relawan ke Padang,” sambung beliau lagi.

HALUAN juga berharap masyarakat Malaysia yang prihatin turut dapat menyumbang apa-apa bentuk bantuan yang boleh mereka hulurkan. Sumbangan berbentuk kewangan boleh disalurkan ke

Tabung Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 14-023-01-002571-8
Bank Islam Malaysia Berhad.

Sementara itu, Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) telahpun menempatkan pasukan bantuan di Pasar Ambacang, Padang. Pasukan yang diketuai oleh Dr Fuadi Yatim ini terdiri daripada doktor umum, doktor pakar, psikiatris dan jururawat, di samping pakar lojistik. Dalam kejadian gempa pada tahun 2006 lalu, HALUAN telah bersama-sama BSMI menghulur bantuan kepada mangsa gempa di Yogjakarta.