
HALUAN Sertai Simposium Solusi Kesihatan Mental Anjuran YADIM
KUALA LUMPUR, 15 Okt 2024 – HALUAN telah mengambil bahagian dalam program Simposium Solusi Kesihatan Mental daripada Perspektif Dakwah (SMILED) anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan YADIM Research Management Centre (YRMC) yang telah berlangsung di Dewan Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.
Simposium tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko penyakit mental, memperkukuh kefahaman tentang solusi penyakit mental daripada perspektif Islam, dan menyebarluaskan pendekatan kesihatan mental berlandaskan ajaran Islam.
Majlis penutupan serta peluncuran buku bertajuk “Garis Panduan Dakwah Menangani Kesihatan Mental Wanita Pengurusan Keluarga dan Kerjaya” telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan. Buku berkenaan telah diterbitkan oleh YRMC. Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Zulkifli melahirkan harapan agar kajian yang serupa dapat dijalankan untuk menangani isu kesihatan mental dalam kalangan lelaki.
HALUAN telah diwakili oleh Setiausaha Kerja Kanan Kluster Pendidikan, Ummu Hani Mohd Nasaruddin, dan Setiausaha Kerja Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga, Nur Farhana Abdul Pata.
Program ini merupakan langkah penting dalam mengintegrasikan solusi kesihatan mental dalam konteks dakwah Islamiah.


—
Laporan Nur Farhana Abdul Pata
Setiausaha Kerja Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga