fbpx

HALUAN Sertai Gabungan Selamatkan Syria

HALUAN Sertai Gabungan Selamatkan Syria

HALUAN Sertai Gabungan Selamatkan Syria

KUALA LUMPUR, 12 Mac 2012 — HALUAN Malaysia, bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang lain, telah melancarkan Gabungan Selamatkan Syria hari ini.

Jaringan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan itu diwujudkan bagi tujuan untuk menzahirkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap perkembangan sosial dan kemanusiaan yang berlaku di Syria ketika ini.

Sejak setahun yang lalu, pemerintah Syria telah melakukan kekejaman dan kezaliman yang berleluasa terhadap rakyatnya sendiri yang telah mengorbankan lebih daripada 8,500 orang awam yang tidak berdosa sepertimana yang dilaporkan oleh media-media tempatan dan antarabangsa. Tindakan tidak berperikemanusiaan pemerintah Syria turut mengakibatkan lebih 39,000 yang lain tercedera manakala 180,000 orang telah dipenjarakan dalam keadaan yang terseksa.

HALUAN, selaku pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin, tidak mempunyai pilihan selain daripada turut sama memberi sumbangan dalam apa jua bentuk yang munasabah ke arah meringankan bebanan rakyat Syria yang tidak berdosa ini. Bagi meningkatkan keberkesanan sumbangan tersebut, HALUAN telah bergabung secara aktif dengan jaringan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang lain melalui Gabungan Selamatkan Syria.

Ketika sidang akhbar yang berlangsung di Ibu Kota pada petang ini, Hj Mohd Sabbri Md Yudin selaku Naib Presiden 2 HALUAN, telah mengajak kesemua rakyat Malaysia untuk turut berkongsi keprihatinan ini.

“HALUAN menyokong segala bentuk usaha yang boleh menghentikan pembunuhan rakyat yang tidak berdosa di Syria ketika ini. Mereka yang terseksa tersebut berhak untuk mendapat keadilan atas nama saudara seagama kita, kemanusiaan, kesejahteraan, kebebasan, dan kemanusiaan sejagat,” kata beliau.

“HALUAN percaya bahawa kezaliman ini, jika tidak dibendung dan dihapuskan akan membawa kepada kemudaratan yang lebih besar yang akan mengancam negara-negara lain di sekitarnya, malah ke negara Malaysia kita,” ujar beliau lagi.

Selain HALUAN, jaringan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan melalui Gabungan Selamatkan Syria itu dianggotai oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Syrian Student Association, DACS Shah Alam, Global Peace Malaysia (GPM), World Assembly of Muslim Youth (WAMY) Malaysia, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Saya Anak Malaysia (SABM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Community Action Network (CAN), Persatuan Masyarakat Wilayah Persekutuan dan Selangor (PERMAS) dan sebagainya.

Sidang akhbar yang turut disertai oleh pelajar-pelajar Syria di Malaysia telah membentangkan fakta-fakta terkini tentang situasi di negara itu. Mereka yang mendengarnya pasti akan lebih tersentuh hatinya, apatah lagi selepas menyaksikan persembahan video yang menyayat hati dan emosi.

Hasil daripada sentuhan hati inilah, maka Gabungan Selamatkan Syria seterusnya mengumumkan penganjuran satu perhimpunan rakyat yang akan diadakan pada hari Jumaat, 16 Mac 2012 pada jam 2.45 petang, bertempat di hadapan Kedutaan Syria. Gabungan ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk ikut serta hadir bagi menzahirkan keprihatinan ini. Suatu memorandum juga sedang dirangka dan akan diserahkan kepada pihak kedutaan terbabit. Para peserta perhimpunan disaran untuk memakai pakaian berwarna putih bagi menunjukkan soladariti umat.

Ketika dihubungi kemudiannya, Hj Mohd Sabbri berkata, “Di pihak HALUAN, adalah diharapkan agar semua ahli HALUAN, terutamanya yang tinggal di Lembah Klang dan sekitarnya dapat menyertai perhimpunan ini.”