fbpx

HALUAN Santuni Ibu dan Bayi Baru Lahir

HALUAN Santuni Ibu dan Bayi Baru Lahir

HALUAN Santuni Ibu dan Bayi Baru Lahir

Dadaab, Timur Kenya, Sept 9  –  Pasukan 1 HALUAN bagi Misi Talian Hayat Somalia pagi ini bergegas menuju ke kemah pelarian Somalia IFO 2 bersama rakan NGO Turki IHH (Insani Yardim Vakfi) setelah mendapat maklumat mengenai seorang ibu tunggal Khadijah Mohammed, 18, yang baru melahirkan anak semalam.


Beliau yang boleh berbahasa Inggeris, hanya berteduh di sebuah khemah usang yang terlalu dhaif dan menyayat hati.  Tersentuh hati kecil ini, dugaan apakah ini ya Allah. Tidak tertanggung rasanya melihat kedhaifan hidup yang terpaksa ditempuhi oleh ibu tunggal ini tanpa suami di sisi ketika saat bertarung dengan ajal sewaktu melahirkan anak perempuan yang sangat comel. Maha Suci Allah SWT yang Maha Adil lagi Saksama, ibu tunggal ini dibantu oleh jiran–jiran terdekat di kem pelarian di saat melahirkan dan mendapat perhatian dari sukarelawan-sukarelawan IHH Turki dan HALUAN Malaysia.

Ibu tunggal ini terpaksa tinggal di dalam khemah yang sempit dan kecil selama dua bulan, selepas menempuhi  perjalanan dari pekan Humara, Somalia yang jaraknya beratus-ratus kilometer sebelum tiba di kem pelarian IFO 2 di Dadaab. Dengan keadaan sarat mengandung tujuh bulan, ibu muda ini terpaksa menempuh perjalanan di bawah panas terik matahari lebih 10 hari dalam keadaan yang menyeksakan tanpa suami di sisi akibat diceraikan sang suami. Lebih tragis lagi, ia telah meninggalkan nasib anak pertamanya seorang lelaki yang baru berusia 2 tahun bersama ayahnya di Somalia.

IHH bersama HALUAN bergabung tenaga membantu ibu tunggal ini dengan mendirikan sebuah khemah baru yang lebih besar dan selesa bersebelahan khemah usang di mana Samirah dilahirkan. Dr Baharudin Suri, ketua Misi Talian Hayat Somalia HALUAN Malaysia, menjalankan pemeriksaan klinikal pada ibu muda ini dan juga ke atas bayi yang baru berusia dua hari. Alhamdulillah, mereka berada di dalam keadaan baik dan sihat. Beberapa buah tangan dari HALUAN berupa ‘baby wipes’, ‘hands liquid steriliser’, multivitamins untuk ibu dan anak diserahkan kepada Khadijah. IHH pula membekalkan beliau dengan beberapa jenis makanan termasuk susu untuk ibu dan bayi. Bayi comel ini dinamakan Samirah Abdul Rahman. Semoga Allah SWT merahmati mereka.

Sebelum kami berundur, dengan raut wajah yang ceria, Khadijah mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada HALUAN Malaysia dan IHH Turki atas pertolongan dan bantuan yang diberikan. Beliau yang sebelum ini tidak membenarkan petugas UNCHR untuk mengambil foto anak dan dirinya, memperlihatkan keselesaan bersama kami apabila mengetahui kami adalah saudara Muslimnya yang datang dari jauh. Dengan berat hati kami melangkah kaki dari khemah baru beliau, meninggalkan bayi Samirah di pangkuan ibunya, dengan iringan do’a, semoga Samirah akan melalui masa-masa kehidupan yang lebih baik sebagai anak yang solehah.

Coretan kisah benar dari lapangan kem IFO 2 Dadaab di sempadan Kenya-Somalia ini mungkin hanyalah satu dari ribuan sayembara derita kehidupan seorang ibu dan anak Somalia. Kami yakin masih banyak lagi paparan kehidupan saudara-saudara Islam kita yang lebih menyayat hati di dalam kem pelarian Somalia di Dadaab ini yang setakat ini dihuni oleh hampir sejuta mereka yang diuji dengan pelbagai musibah. Adakah anda mendengar?

Bagi kita, saudara seaqidah, diharapkan ianya bukan hanya sebagai penglipur lara, tetapi mampu menggugah hati nurani keimanan untuk menghulurkan pelbagai bantuan untuk ibu-ibu dan anak-anak Somalia. Salurkan bantuan saudara melalui akaun khusus misi kemanusiaan di atas nama HALUAN di BIMB 14-023-01-002571-8

—————————–

Laporan Bro. Mohd Akhir Ahmad dari Dadaab, Kenya.