fbpx

HALUAN Santuni Anak Yatim & Keluarga di Skudai

HALUAN Santuni Anak Yatim & Keluarga di Skudai

HALUAN Santuni Anak Yatim & Keluarga di Skudai

SKUDAI, 23 April 2022 – HALUAN bersama Masjid Abidin dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor telah mengagihkan bantuan sempena Ramadan Al Mubarak 1443H dan ketibaan Aidilfitri kepada 40 orang anak-anak yatim daripada 14 keluarga di sekitar Masjid Abidin Taman Sri Skudai.

Majlis tersebut telah disempurnakan selepas solat asar dan turut dihadiri oleh Naib Presiden 4 Kluster Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN, Dr. Baharudin Suri; Pengarah YADIM Johor, Ustaz Muhammad Ammar Abdullah; Penolong Pengarah KEMUDA YADIM, Ustaz Mohd Khamis Mohd Sani; serta 20 orang Rakan Siswa YADIM dari UTM Skudai. Beberapa aktivis HALUAN Johor Bahru termasuk Dr. Noraishah Abd Aziz, NYDP 6 HALUAN Caw. Johor, turut hadir dalam majlis berkenaan.

Pihak Masjid Abidin telah menyampaikan bantuan kewangan bulanan dan sumbangan aidilfitri kepada setiap anak yatim, manakala Rakan Siswa YADIM memberikan bubur lambuk dan pek makanan kepada mereka. HALUAN pula telah menyumbangkan sampul raya Aidilfitri dan pek makanan yang berisi 10 kg beras, satu paket tepung, satu paket gula, satu paket garam bukit, 2 paket bihun serta sehelai tudung labuh kepada setiap keluarga anak-anak yatim tersebut.

Semoga bantuan yang telah diagihkan oleh pelbagai pihak tersebut akan menambahkan lagi keceriaan mereka di bulan yang penuh barakah ini.

Sebelum agihan bantuan disempurnakan, anak-anak yatim tersebut telah menghadiri satu sesi motivasi kepentingan solat yang telah dikendalikan oleh Siswa dan siswi daripada Rakan Siswa YADIM. Majlis diakhiri dengan iftar bersama dan solat maghrib berjemaah.

Program ini adalah sebahagian daripada Program Prihatin Anak Yatim yang merupakan program kolaborasi pintar antara Masjid Abidin, HALUAN dan YADIM yang telah bermula pada bulan Ramadan tahun 2021, melibatkan bantuan kewangan bulanan oleh pihak masjid, motivasi serta kaunseling dan program sosio-ekonomi keluarga anak yatim yang dikendalikan oleh HALUAN dan YADIM.


Laporan Nuramira Md Ithnin, SUK Kebajikan HALUAN