fbpx

HALUAN Salur Bantuan Kecemasan Pasca Gencatan Senjata

HALUAN Salur Bantuan Kecemasan Pasca Gencatan Senjata

HALUAN Salur Bantuan Kecemasan Pasca Gencatan Senjata

GAZA, 23 Nov 2012 — Serangan ganas tentera zionis ke atas rakyat Gaza kini reda berikutan persetujuan gencatan senjata yang ditaja oleh negara Mesir. Namun kesengsaraan penduduk Gaza tidak berakhir di sini.

Kemusnahan infrastruktur awam, rumah kediaman, bank, bahkan pejabat-pejabat kerajaan sudah cukup memberi bayangan betapa beratnya cabaran dan kesengsaraan yang akan dihadapi oleh mereka. Beberapa laporan menyebut ada sekurang-kurangnya 10,000 orang penduduk Gaza terpaksa menumpang berteduh di bangunan-bangunan sekolah UNHCR. Ribuan buah rumah musnah menjadi runtuhan dan debu akibat jijiknya perbuatan zionis.

Bekalan ubat juga dilaporkan kehabisan, sehinggakan rawatan biasa terpaksa ditunda bagi memberi keutamaan kepada mereka yang tercedera parah. World Health Organisation (WHO) menganggarkan sebanyak USD10 juta diperlukan untuk membekal ubat-ubatan dan peralatan rawatan bagi kegunaan penduduk Gaza selama tiga bulan akan datang.

Sumbangan rakyat Malaysia untuk penduduk Gaza yang disalurkan melalui HALUAN Malaysia telah disampaikan untuk membekal bantuan perubatan dan keperluan kecemasan yang lain. Hari ini, salah sebuah NGO yang berkerjasama dengan HALUAN di Gaza iaitu Salam Society for Relief and Development bergerak mengagih bantuan tunai dan makanan kepada mangsa yang tercedera dan masih terlantar di hospital. Hospital-hospital yang dilawati adalah:

  1. Hospital Kamal Edwan di utara Gaza,
  2. Hospital al Shifa di Bandar Gaza,
  3. Hospital Shohadaa al Aqsa di tengah Gaza,
  4. Hospital Eropah di Khan Younis, dan
  5. Hospital Abu Yousef al Najjar di Rafah.

Menurut Pengerusinya,Yakoub Soliman, esok para relawan dijadualkan bergerak ke kawasan penduduk di Gaza bagi menyalurkan bantuan rakyat Malaysia dalam bentuk keperluan asas termasuk makanan.

Penderitaan rakyat Gaza dijangka lebih memeritkan apabila musim sejuk tiba tidak lama lagi. Selain daripada ketiadaan tempat berteduh dan pakaian sejuk, penduduk Gaza juga terpaksa bergelap kerana tenaga elektrik tidak dapat dijana akibat kehabisan minyak.

Namun penduduk Gaza memiliki kecekalan yang sangat luar biasa. Esok, Sabtu, sesi persekolahan akan dibuka semula dan anak-anak di Gaza akan melangsungkan kehidupan seharian sekadar apa yang mereka ada. Ibubapa akan keluar bekerja, ke kebun dan pasar untuk menyara keluarga. Bagi mereka yang tercedera, sudah tentu cabarannya lebih besar dan memeritkan.

Sekatan zalim yang dikenakan oleh Zionis sejak lebih enam tahun lalu seolah-olah menutup semua peluang dan harapan rakyat Gaza. Sungguhpun begitu, mereka terus berusaha mencari sumber kehidupan dan tidak sekali-kali mudah menyerah dan merayu bantuan. Mereka akan membina semua rumah dan bangunan yang diranapkan oleh Zionis dan menanam semua kebun yang rosak. Tidak kira bila masanya mereka akan menuai hasil atau kejayaan, yang penting mereka akan terus berusaha. Kalau rumah yang diranapkan hari ini hanya dua tingkat, mereka akan membina semula rumah baru di tapak yang sama sebanyak empat tingkat, menandakan mereka tidak akan serik dan yakin akan terus menapak di situ. Itulah di antara kehebatan rakyat Gaza selama ini yang menggetarkan rejim Zionis.

Mereka tidak akan berganjak mempertahankan bumi wakaf umat Islam itu. Bahkan mereka akan bertahan dan terus melawan penjajahan sehinggalah seluruh bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa dibebaskan daripada cengkaman zionis.

Sumbangan ikhlas anda sangat diperlukan bagi membantu keperluan perubatan, makanan, khemah sementara dan pakaian sejuk untuk mereka, dan boleh disalurkan melalui:

Tabung Palestin HALUAN
BIMB: 14-023-01-003429-2
Maybank: 5644 9020 8528