fbpx

HALUAN Sabah Terus Berbakti

HALUAN Sabah Terus Berbakti

HALUAN Sabah Terus Berbakti

HALUAN Sabah merupakan cawangan kepada Pertubuhan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1988. HALUAN yang bermotokan Berakhlak, Mendidik dan Berbakti menetapkan visinya untuk menjadi Perubah dan Pemimpin Masyarakat melalui misinya iaitu Pendidikan Melahirkan Pemimpin dan Dakwah Merubah Masyarakat.

Objektif utamanya adalah, (1) Membantu kerajaan dalam menangani masalah sosio-ekonomi terutamanya dalam aspek pembinaan keluarga bahagia, penyelesaian konflik keluarga dan remaja, dan pembelaan keluarga tunggal, miskin dan anak yatim; (2) Mengekalkan semangat dan sifat prihatin dalam masyarakat Malaysia untuk menyumbang kepada keharmonian dan kerukunan masyarakat; dan (3) Menjadi elemen perantara penderma dan penerima derma.

Bagi mencapai objektifnya, pelbagai biro mengikut bidang kepakaran, kelab dan juga jawatankuasa khas di peringkat pusat dan cawangan diwujudkan bagi melaksanakan pelan tindakan yang ditetapkan. Setiap biro atau kelab dan jawatankuasa berfungsi melaksanakan pelbagai program sebagai pelan tindakan ke arah pencapaian objektif, misi dan visi HALUAN secara keseluruhannya.

Di Sabah, di antara program-program umum yang dilaksanakan oleh HALUAN cawangan Sabah terbahagi kepada tiga kategori. Pertama, program intervensi pendidikan yang bersifat jangka panjang dan berterusan. Program ini dijalankan di Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) yang ditubuhkan HALUAN di seluruh Sabah. Sasaran khusus program ini adalah komuniti dan etnik minoriti meliputi kanak-kanak dan dewasa yang tercicir dan terpinggir sama ada di pedalaman atau di bandar tanpa mengambil kira asal keturunan, latar pendidikan, suku kaum dan agama serta tidak mempunyai akses kepada pendidikan aliran perdana disebabkan oleh pelbagai masalah berantai.

Di pusat ini, para pelajar diberikan bimbingan untuk menguasai kemahiran 3M, pengurusan diri dan fardhu ain, kemahiran hidup dan ilmu kenegaraan. Berdasarkan rekod, majoriti pelajar berjaya menguasai 3M, asas fardhu ain, pengurusan diri dan kenegaraan dalam tempoh kurang setahun. Sehingga kini sebanyak sepuluh PPMI telah dioperasikan di seluruh Sabah, iaitu lima di Lahad Datu, tiga di Semporna, dan masing-masing satu di Kunak dan Kota Kinabalu. Seramai hampir 2,000 orang sedang melalui proses pembelajaran di pusat ini dengan intervensi 50 orang tenaga guru sukarelawan. Selain menjadi tempat mereka menimba ilmu, pusat ini juga berfungsi sebagai pusat transit ke sekolah aliran perdana yang diuruskan oleh pejabat pendidikan daerah setelah mereka layak dan memenuhi kriteria asas yang ditetapkan. Ia juga sebagai inisiatif bersepadu HALUAN Sabah membantu kerajaan mewujudkan keamanan dan keselamatan dengan membebaskan komuniti khususnya di kawasan persisiran dan sempadan perairan Sabah daripada menjadi mangsa pengaruh dan jenayah rentas sempadan.

Program kedua adalah yang bersifat jangka pendek tetapi berterusan setiap tahun. Program-program tersebut adalah seperti pelaksanaan Kem Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja (iJDK), program Kemahiran Anak Soleh (Kaseh) khusus untuk pelajar-pelajar sekolah rendah, Kem Remaja Cemerlang (KeArah) khusus untuk remaja sekolah menengah dan program Suka Didik iaitu satu program kesukarelawanan yang melibatkan pelajar-pelajar lepasan sekolah menengah atau IPT dalam dan luar negara yang menunggu keputusan peperiksaan atau cuti semester panjang melaksanakan khidmat kesukarelawanan pendidikan dan bimbingan di pusat-pusat atau di tempat-tempat lain berdasarkan keperluan dan permintaan. Kebanyakan mereka ini mengajar pelbagai bidang seperti bahasa Inggeris, Sains, bahasa Arab, Al Qur’an, fardhu ain dan lain-lain.

Seterusnya yang ketiga, HALUAN Sabah juga melaksanakan program-program jangka pendek khususnya melalui jalinan kerjasama pintar dengan pelbagai agensi, unit, bahagian, syarikat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti bandar dan luar bandar. Contoh-contoh program yang dijalankan adalah seperti seminar, kursus, pemeriksaan kesihatan, ceramah keusahawanan, kem motivasi, khidmat masyarakat dan lain-lain.

HALUAN Sabah berhasrat menjadi salah satu gabungan dalam badan-badan bukan kerajaan, NGO (Concern) di Sabah, yang berperanan aktif khususnya dalam menyediakan pendidikan alternatif kepada kumpulan sasar kritikal melalui Pusat Pembangunan Minda Insan Sabah. Semoga PPMI menjadi projek bersama dalam gabungan ini agar dapat merangsang komuniti keseluruhannya untuk mengoperasikan secara bersama bagi mengatasi rantaian masalah dihadapi kumpulan sasar.