fbpx

HALUAN Sabah Bantu 152 Pelajar Mangsa Kebakaran Simunul

HALUAN Sabah Bantu 152 Pelajar Mangsa Kebakaran Simunul

HALUAN Sabah Bantu 152 Pelajar Mangsa Kebakaran Simunul

SEMPORNA, 30 Okt 2015 – HALUAN Sabah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Semporna telah mengadakan Majlis Penyerahan Bantuan kepada 152 pelajar mangsa kebakaran Simunul pada 23 Oktober lepas bertempat di Dewan Sekolah Kebangsaan Bubul, Semporna.

Bantuan ini adalah insiatif HALUAN bagi membantu dan meringankan segala kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa akibat dari musibah yang menimpa mereka. Turut bersama adalah sebilangan ibu bapa serta anak-anak mereka bagi menerima sumbangan yang diagihkan. Kebanyakan pelajar menerima bantuan ini adalah pelajar sekolah menengah yang rata-ratanya akan menduduki ujian Sijil Pelajaran Malaysia hujung tahun ini.

Majlis bantuan ini telah disempurnakan upacara perasmiannya oleh Pengawai Pejabat Pendidikan Daerah Semporna, Puan Ummai Salmah Abdul Karim. Turut bersama di majlis ini ialah Yang Dipertua HALUAN Sabah, Tuan Syed Abdul Sabul Imam dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bubul, Encik Ramli Saad.

Tepat jam 2.30 petang majlis dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagi negaraku, lagu Sabah tanah airku dan seterusnya ucapan alu-aluan oleh YDP HALUAN Sabah. Beliau mewakili pihak HALUAN Sabah sangat berbesar hati untuk menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan kerana kerja-kerja kebajikan ini merupakan tugas kita sesama insan.

Menurut beliau lagi, HALUAN akan sentiasa berusaha menyantuni rakyat Sabah dengan pelbagai bantuan yang termampu untuk meringankan kesusahan yang menimpa mereka-mereka yang diuji dengan bencana mahu pun apa jua bentuk musibah.

Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan oleh Puan Ummai sekali gus merasmikan majlis bantuan ini. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak HALUAN kerana sudi membantu mangsa kebakaran Simunul, Semporna serta berbesar hati menjalinkan hubungan kerjasama dengan PPD Semporna.

Beliau juga menyatakan bahawa, kerjasama erat ini bukanlah yang pertama yang diberikan oleh pihak HALUAN kerana sebelum ini sudah ada beberapa siri bantuan yang dihulurkan semenjak beliau bertugas di PPD Kunak lagi.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pihak NGO HALUAN di atas keprihatinan kepada isu-isu kemanusiaan khususunya apa yang berlaku di Sabah,” ujarnya lagi.

Selesai ucapan itu, majlis diteruskan dengan agihan bantuan wang tunai RM100 dan makanan asas (beras, gula, tepung dan minyak masak) kepada 150 pelajar yang terlibat. Terukir senyuman gembira di setiap raut wajah para pelajar saat menyambut bantuan yang diberikan. Besar harapan pihak HALUAN agar sedikit bantuan yang diusahakan ini mampu memberikan manfaat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik.


Laporan Zulkifli Willi, Urusetia HALUAN Sabah