fbpx

HALUAN Rasmi Rohingya Community Educare Center

HALUAN Rasmi Rohingya Community Educare Center

HALUAN Rasmi Rohingya Community Educare Center

SERI KEMBANGAN, 4 Disember 2017 — Sebuah pusat komuniti dan pendidikan bagi pelarian Rohingya di Malaysia, Rohingya Community Educare Center (RCEC), yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) dengan kerjasama Yayasan NAMA telah dirasmikan di Taman Prima Tropika City hari ini.

RCEC mula beroperasi sejak bulan Oktober lalu, di mana lima orang guru HALUAN mendidik 30 orang anak-anak Rohingya dalam subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Burma, Pendidikan Islam dan juga Pengajian al-Quran.

Majlis perasmian RCEC telah disempurnakan oleh Pemegang Amanah Tetap Yayasan NAMA, Sheikh Saleh S.A Bin Mahfouz, hari ini. Turut hadir di majlis tersebut adalah Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan NAMA, Dr. Saleh Mubarak Saleh Bazead.

Di majlis yang sama, Yayasan NAMA turut menyerahkan bantuan kewangan untuk 20 buah madrasah terpilih dari sekitar Lembah Klang.

Yayasan NAMA adalah sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan yang membantu usaha membina masyarakat yang mampan dengan menyediakan dana pendidikan khusus untuk sektor bukan kerajaan.

Tidak sampai 40% daripada 150,000 anak-anak Rohingya di Malaysia berpeluang untuk belajar di sekolah-sekolah kendalian UNHCR dan NGO tempatan. Sungguhpun begitu, mereka hanya belajar dalam bidang agama dan subjek Bahasa sahaja.

Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman dalam kenyataan beliau menyebut bahawa RCEC menyediakan sistem pembelajaran yang lebih sistematik dari peringkat rendah. “Di RCEC, kita juga mendedahkan pelarian Rohingya dengan sosiobudaya masyarakat Malaysia, mereka akan dapat bersedia untuk berinteraksi dengan masyarakat Malaysia,” jelas beliau.

Sebagai sebuah pusat komuniti, RCEC juga berperanan menyediakan peluang belajar kepada masyarakat dewasa Rohingya, termasuk kelas Bahasa Malaysia dan Inggeris. Ibubapa pelajar juga disediakan dengan kelas kemahiran keibubapaan.

Berkenaan perancangan masa hadapan, HALUAN sedang melihat perkembangan RCEC dari pelbagai aspek termasuk penerimaan masyarakat Rohingya di sekitar Seri Kembangan. “Selain kerjasama dengan Yayasan NAMA, HALUAN juga bermuafakat dengan NGO masyarakat Rohingya dan ahli-ahli jawatankuasa ibubapa agar pembaharuan yang ingin dibawa ini diterima dengan baik,” kata Dr Abdullah Sudin. “HALUAN perlukan masa sehingga enam bulan bagi melihat perubahan dan kejayaannya. Selain itu, sudah pasti usaha mengembangkan projek ini memerlukan dana dan komitmen yang besar.”

HALUAN bagaimanapun merancang untuk menambah bilangan pelajarnya kepada 70 orang mulai Januari 2018.

Untuk perancangan jangkamasa panjang, HALUAN berharap konsep RCEC ini dapat diperkukuh oleh komuniti Rohingya sendiri. Untuk itu, HALUAN dan Yayasan NAMA juga mula melatih ahli-ahli komuniti Rohingya dalam bidang pengurusan, penjanaan ekonomi dan pembinaan modal, di samping memberi latihan kepada guru-guru madrasah tradisional yang ada di sekitar Lembah Kelang dan mengurus latihan vokasional kepada remaja-remaja Rohingya.

Masyarakat prihatin boleh turut membantu dengan menyalurkan dana melalui akaun berikut:

Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Akaun No: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad

Sila emel resit sumbangan dengan tajuk [Educare4Rohingya] ke unit.kewangan@haluan.org.my


Laporan Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja, Biro Misi Kemanusiaan