fbpx

HALUAN Putrajaya Bantu Mangsa Banjir Raub

HALUAN Putrajaya Bantu Mangsa Banjir Raub

HALUAN Putrajaya Bantu Mangsa Banjir Raub

RAUB, 9 Jan 2021 – Relawan HALUAN Putrajaya turun padang melakukan operasi pembersihan pasca banjir di Kampung Ajai di sini pada 8 Januari 2021.

Kawasan yang rendah dan berdekatan sungai ini sering ditimpa bencana banjir dan sudah mangli dengan keadaan ini. Namun, banjir kali ini dikatakan paling dahsyat dan ia melebihi paras banjir pada tahun 1971 iaitu sehingga paras bumbung rumah. Perkakas dan barang-barang rumah musnah dalam sekelip mata sahaja. Lantai dan dinding rumah dipenuhi lumpur hitam yang berbau dan tebal. 

Kata penduduk, “kami hanya sempat selamatkan diri dan dokumen penting sahaja. Air naik sangat cepat dan deras menyebabkan ada rumah yang terhanyut dibawa arus.” Menyedihkan lagi, rumah yang hilang dari tapak itu tidak dapat diselamatkan lagi kerana sebahagiannya roboh dan perlu dibina semula. 

Operasi pemulihan tersebut berlaku selama dua hari. Pada hari pertama, relawan diberi taklimat oleh  pengerusi Masjid Tengku Abu Bakar (MTAB), Raub iaitu Ustaz Ghazali Abdullah yang juga merupakan wakil HALUAN Pahang. Bersama-sama di taklimat itu adalah  relawan daripada pasukan Ride Santai Dakwah (RSD) dan pasukan MTAB sendiri. .

Pasukan relawan HALUAN Putrajaya seramai 16 orang, 13 lelaki dan tiga wanita membantu menyumbang tenaga dalam khidmat pembersihan rumah dan menyampaikan sumbangan berupa barang-barang keperluan makan kepada mereka dari rumah ke rumah. Sebanyak 30 buah rumah telah dijejaki dengan dibantu oleh penduduk kampung, Pak Ngah Baharudin yang menjadi penunjuk jalan.

Penduduk kampung sangat berbesar hati dan mengalu-alukan relawan dalam membantu membersihkan rumah mereka. Ada yang tinggal sendirian, uzur dan tidak mampu untuk bersihkan rumah seorang diri. 

Sangat menyayat hati apabila terlihat seorang wanita tua bersama dua orang kanak-kanak duduk termenung di tapak rumah melihat rumah mereka yang roboh dan hanyut. Apabila menjelang malam, baru mereka bergegas ke masjid, tempat perlindungan penduduk kampung yang terkesan teruk.


Laporan Fatimah Al-Bukhary, sukarelawan HALUAN Putrajaya