fbpx

HALUAN Pulau Pinang Terus Prihatin Kepada Mangsa Gempa Sumatera

HALUAN Pulau Pinang Terus Prihatin Kepada Mangsa Gempa Sumatera

HALUAN Pulau Pinang Terus Prihatin Kepada Mangsa Gempa Sumatera

PERMATANG PAUH, 12 Februari 2010 — HALUAN Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan satu sesi tazkirah sebelum Jumaat di Masjid Jami’e Kubang Semang, Permatang Pauh bagi mendedahkan kepada masyarakat tentang perkembangan terkini saudara seakidah di Padang, Indonesia yang dilanda musibah gempabumi tidak lama dulu. Tazkirah telah disampaikan oleh Ustaz Redhuan Zul’ala dari Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia (PBSMI), yang mengadakan kunjungan silaturrahim di sini.


Dalam kejadian gempa tersebut, lebih 1100 orang telah terkorban, manakala ramai lagi yang tercedera. 85 peratus daripada infrastruktur awam musnah atau rosak. Sehingga kini, masyarakat di Padang dan sekitarnya masih lagi memikul beban kemusnahan harta, tempat tinggal, prasarana dan juga kehilangan keluarga dan saudara-mara. Biro Bantuan Kemanusiaan HALUAN telah menghantar sebelas pasukan bantuan, termasuk relawan-relawan perubatan, kaunseling dan juga pembangunan prasarana. HALUAN Pulau Pinang sendiri telah menghantar lebih 10 orang relawan menyertai misi bantuan tersebut.

Dalam ucapan tazkirahnya, Ustaz Redhuan telah menerangkan kepada jemaah tentang peranan yang telah dimainkan oleh relawan HALUAN membantu mangsa-mangsa gempa. Beliau juga telah berbicara tentang keperluan untuk masyarakat terus membantu saudara seakidah mereka di sana menghadapi cabaran kehidupan pasca gempa.

HALUAN juga telah menjalankan beberapa projek pembangunan pasca gempa, antaranya ialah membina sistem bekalan air bersih di kampung-kampung pendalaman.

Selepas tazkirah dan solah Jumaat, satu kutipan untuk Tabung Pembinaan Pusat Aktiviti Masyarakat dan Telaga Tiub Berpam Automatik, Dusun Hulu Banda, Pariaman telah di lancarkan oleh relawan-relawan HALUAN. Sebanyak RM1,000 telah dikumpul sebagai tanda keprihatinan masyarakat di sini.