fbpx

HALUAN Pulau Pinang Mendidik dan Berbakti di Batu Uban

HALUAN Pulau Pinang Mendidik dan Berbakti di Batu Uban

HALUAN Pulau Pinang Mendidik dan Berbakti di Batu Uban

BATU UBAN, 7 Februari 2012 — Seramai 10 orang penduduk miskin kariah Masjid Jamek Batu Uban menerima bantuan kebajikan daripada HALUAN Malaysia Cawangan Pulau Pinang sempena Program Khidmat Masyarakat HALUAN (KHIDMAH) yang telah diadakan buat kali kedua di sini.


KHIDMAH merupakan program khidmat masyarakat tahunan oleh HALUAN Malaysia yang dijalankan di seluruh negara dengan kerjasama kepimpinan masyarakat setempat bertujuan mendidik dan menabur bakti kepada masyarakat.

Di dalam ucapan alu-aluan program KHIDMAH Pulau Pinang, pengerusi Kariah Masjid Batu Uban, Tn Hj Syeh Aziz Syeikh Mohamed melahirkan kegembiraan kerana sekali lagi HALUAN dapat mengadakan program KHIDMAH di situ. Beliau menaruh harapan yang tinggi kepada HALUAN. “Semoga HALUAN dapat terus menjalankan program-program di sini secara berterusan dan tidak sekadar aktiviti bermusim,” harap beliau. YDP HALUAN Pulau Pinang, Dr Ismail Jusoh, dalam ucapan beliau menyambut baik saranan daripada pengerusi kariah dan mencadangkan agar ustaz-ustaz daripada kalangan anggota HALUAN menggiatkan lagi program-program ilmu di masjid-masjid seluruh negeri Pulau Pinang dalam rangka mendidik dan berbakti kepada masyarakat.

Program kemudian diteruskan dengan ceramah Maulidur Rasul oleh Ustaz Sharihan Shahidan yang merupakan pengarah Kolej Komuniti Bayan Baru. Beliau menyeru hadirin untuk mengingati Rasulullah SAW lebih-lebih lagi ketika umat Islam baharu sahaja menyambut Maulidul Rasul. Beliau menyoroti sejarah kehidupan baginda dan menekankan bahawa ingatan Rasulullah SAW kepada umat tidak pernah padam walau di akhir hayat baginda. “Maka sewajarnya kita sebagai umat baginda sentiasa ingat kepada Rasulullah SAW dengan mengikuti sunah yang ditinggalkan dalam kehidupan kita,” seru beliau.

Program separuh hari yang bermula jam 8.30 pagi itu sarat dengan pelbagai aktiviti yang disesuaikan untuk pelbagai peringkat umur dan disertai sekitar 600 orang penduduk. Antara aktiviti yang telah diadakan termasuk persembahan nasyid oleh anak-anak kariah, demonstrasi seni khat, pameran poster dan tayangan multimedia berkenaan perjuangan umat Islam di Palestin dan visual misi-misi kemanusiaan HALUAN Malaysia di Palestin dan Somalia.

Anak-anak kariah pula berlumba-lumba menyertai pertandingan-pertandingan yang diadakan seperti pertandingan azan dan pertandingan hafazan yang disertai seramai 33 orang peserta. Pertandingan mewarna pula menyaksikan penyertaan seramai 80 orang.

Kelab Kesihatan Haluan (KKH) juga mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk. Di samping itu juga diadakan pameran poster dan tayangan multimedia yang menyorot perjuangan umat Islam di Palestin dan juga visual misi-misi kemanusiaan HALUAN di Palestin dan Somalia. Aktiviti lain yang diadakan termasuk demonstrasi seni khat.

———

Laporan disediakan oleh Isahak bin Jaapar.