fbpx

HALUAN Pertahan Hak “Tiada Ekstradisi” Dr Zakir Naik

HALUAN Pertahan Hak “Tiada Ekstradisi” Dr Zakir Naik

HALUAN Pertahan Hak “Tiada Ekstradisi” Dr Zakir Naik

Kuala Lumpur, 15 Jun 2019 – Beliau (Dr. Zakir Naik) adalah antara ilmuan atau sarjana Islam masa kini dan pakar dalam bidang perbandingan agama. Tidak timbul soal keganasan atau penghinaan terhadap agama lain selagi konteks pandangan dan bicara itu di atas pentas perdebatan.

“Sesiapa sahaja yang mencari kebenaran akan mudah menerima input yang beliau sampaikan. Malah, sesiapa sahaja boleh mempertahankan sudut pandang masing-masing semasa perdebatan dengan beliau jika mampu. Individu ini banyak mengingatkan kita kepada almarhum Sheikh Ahmad Deedat dari Afrika Selatan suatu masa dahulu. HALUAN menyokong penuh pendirian Perdana Menteri di dalam isu memperhalusi permintaan ekstradisi terhadap Dr Zakir oleh kerajaan India,” demikian menurut Ketua Biro Penerangan HALUAN, Encik Khairul Azman Ahmad Abkari.

Beliau yang turut hadir memberikan sokongan di dalam sidang media Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) semalam turut menyokong inisiatif bagi menggesa kerajaan Malaysia agar tidak tunduk dengan gesaan kerajaan India mengekstradisi atau menghantar pulang pendakwah terkenal tersebut ke India.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan bahawa Dr Zakir adalah intelektual Islam yang diiktiraf seluruh dunia, hujah dan pencerahannya langsung tidak mengandungi hasutan atau penghinaan terhadap agama lain seperti dakwaan sesetengah pihak terutamanya kerajaan India yang kini diperintah oleh Parti BJP.

Seterusnya dakwaan pemindahan wang haram oleh Dr Zakir dijadikan tuduhan lanjutan meskipun telah berulang kali dijelaskan sumber serta prosedur kewangannya yang telus. Semua dokumen aliran kewangan dan tanggungjawab membayar cukai sudah diserahkan kepada pihak berwajib India. Namun, ramai pihak yang tidak senang dengan kemampuan tertinggi pendakwah ini dalam mematahkan hujah-hujah mereka kini telah mencuba strategi baru untuk menghantarnya pulang ke negara asalnya, selaras dengan ketetapan agenda kerajaan India itu sendiri.

Ada pihak-pihak yang mendakwa terdapat segelintir golongan ekstremis Hindu di Malaysia dipercayai diperalatkan untuk mencuba mencapai hasrat ekstradisi ini yang, jika berjaya, diharapkan akan dapat memadamkan kemampuan besar beliau membuka mata lebih ramai orang. Namun, majoriti penganut agama Hindu di Malaysia, terutamanya golongan profesional dan terpelajar, dikatakan tidak menyokong pendapat golongan minoriti ekstrimis ini yang sering mengadu domba dan membuat ratusan laporan polis mengenai hal-hal keagamaan sambil mencuba menggugat keharmonian kaum dan agama di Malaysia.

“Namun, kami yakin ramai masyarakat Malaysia berpendapat bahawa Dr Zakir bukan lagi mahu diadili di mahkamah India kerana sudah sepastinya beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil apatah lagi ketika beliau digambarkan dalam persepsi yang buruk oleh kerajaan dan media di sana, tetapi lebih untuk menahan beliau dan menyekat beliau dalam menyampaikan dakwahnya di negara itu,” katanya lagi pada sidang media Kempen Sokongan Untuk Dr Zakir Naik No Extradition To India itu.

Pihak berkuasa di India pernah dilaporkan akan cuba mendapatkan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menahan Dr Zakir, sekali gus mengekstradisinya ke negara itu dari Malaysia.

Namun, pada Disember 2017, Interpol menarik semula notis merah ke atas Dr Zakir selepas menolak permohonan yang dikemuka Agensi Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) kerana ia tidak lengkap dan tidak memfailkan sebarang kertas pertuduhan terhadap Dr Zakir.

Tekanan dalam Malaysia juga diterima daripada beberapa aktivis sosial, segelintir media tempatan dan ahli politik kerajaan agar proses ekstradisi itu disegerakan. Sehubungan itu, katanya lagi “Suasana dan iklim politik tanahair mutakhir ini agak sukar dan membimbangkan. Justeru kita mesti segera bertindak untuk menyatakan pendirian kita dan sokongan kepada langkah kerajaan jika tidak mahu Islam terus menjadi bahan dagangan kepada pihak yang sengaja menimbulkan kebencian agama di negara ini khususnya.”

Lanjutan daripada sidang media tersebut, beberapa langkah akan dirangka seperti petisyen dalam talian, penerangan di masjid-masjid, cetakan kronologi kes ini dan juga pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi.

Kerajaan Malaysia setakat ini masih bertahan dan tidak tunduk kepada tekanan India dan desakan segelintir pihak di sini, serta terus membenarkan Dr Zakir berada di Malaysia selagi beliau tidak menyalahi undang-undang negara ini.

___
Laporan mediaHALUAN