HALUAN Perkasa Kerjasama Pendidikan di Selatan Thailand
NARATHIWAT, THAILAND, 10 Sept 2024 — Delegasi HALUAN berkunjung ke sebuah sekolah di Cho-airong, Narathiwat bagi memperkasakan lagi kerjasama pendidikan dengan NGO tempatan, Foundation for Education and Curable Orphan (FECO).
Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman mengetuai delegasi enam wakil HALUAN yang turut disertai Naib Presiden Kluster Kebajikan dan Kemanusiaan, Dr. Baharudin Suri, serta beberapa orang wakil Biro Pendidikan. Mereka disambut oleh 17 orang barisan pimpinan FECO dan guru-guru sekolah, diketuai oleh Pengasas FECO, Puan Tasneem Umar.
Kunjungan tersebut bertujuan mengeratkan lagi hubungan dua hala serta mengenal pasti ruang kerjasama secara lebih erat, sekaligus memperkasakan program pendidikan untuk masyarakat Islam di sana. Dalam ucapan aluan beliau, Dr. Abdullah Sudin menegaskan kepentingan membina gerak kerja yang berasaskan kepada iman dan takwa agar dapat melahirkan keyakinan yang tinggi dan usaha yang jelas lagi berterusan. “Untuk memperkasa sesebuah organisasi, kita perlu ada kriteria asas yang jelas iaitu iman yang mesti dipandu sehingga melahirkan ukhuwah yang kuat,” tegas beliau.
Sementara itu, Puan Tasneem berharap agar dapat dibincangkan kerjasama yang lebih erat dan tersusun di antara FECO dan HALUAN.
Sekolah tersebut, Rungarun Islam Wittaya School, bermula dengan menyediakan pendidikan untuk 200 anak-anak yatim dari daerah Tak Bai. Para pelajarnya menelusuri pendidikan daripada pra-sekolah sehingga pendidikan menengah, dengan pengajaran silibus yang ditetapkan kerajaan Thailand di samping mata pelajaran agama seperti akidah, akhlak dan juga sirah. Seramai 21 orang guru bertugas di sana. Sekolah tersebut turut mengambil pelatih-pelatih daripada universiti tempatan.
Kunjungan tersebut amat bermakna bagi HALUAN demi mengukuhkan agenda pendidikan dan kebajikan kepada masyarakat, khususnya penduduk di selatan Thailand.
Laporan Mohamad Syahmi Mohamad Bakri
Media HALUAN