fbpx

HALUAN Perkasa Institusi Keluarga Muslim

HALUAN Perkasa Institusi Keluarga Muslim

HALUAN Perkasa Institusi Keluarga Muslim

KEPALA BATAS, BUTTERWORTH, 30 Jun 2019 — Rumah tangga muslim merupakan institusi kekeluargaan yang penting dalam aspek pembangunan dan keharmonian masyarakat. Peranannya tidak boleh diabaikan apatah lagi, ia menjadi tonggak utama kepada kekuatan pelaksanaan kerja-kerja dakwah dan tarbiah melalui medan kesukarelawanan ini. Memahami keutamaan hal ini, HALUAN melalui Biro Kebajikan HALUAN telah melancarkan road show Seminar Pembentukan Keluarga Muslim ke seluruh negara.

Dengan mensasarkan ahli dan para relawan HALUAN sebagai peserta, HALUAN Cawangan Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang menganjurkan seminar kekeluargaan ini. Program berbentuk pembentangan dan perbincangan dua hala ini telah diadakan di Dewan Seminar, Masjid At Taqwa, Bertam Indah bermula jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang. Tiga kertas kerja telah dibentangkan oleh Encik Ibrahim Abdul Rahman, Ketua Biro Pembangunan Keluarga HALUAN kepada 80 orang ahli HALUAN dari pelbagai peringkat umur.

Kertas kerja yang dibentangkan sepanjang seminar sehari ini ialah, Modul Baitul Muslim, Mengenal Personaliti Ahli Keluarga dan Halakah Keluarga.

“Pembinaan rumahtangga melalui pembentukan keluarga muslim memerlukan persediaan yang holistik daripada setiap ahli-ahlinya. Bermula dari aspek kejelasan tujuan dan matlamat untuk mendirikan rumah tangga hinggalah ke aspek pengurusan ekonomi, emosi dan pendidikan anak-anak semuanya perlu dipersiapkan. Asasnya adalah ilmu, kemahuan dan kesedaran,” jelas Encik Ibrahim.

Para peserta begitu teruja apabila didedahkan dengan modul Mengenal Personaliti Ahli keluarga oleh penceramah dengan penerangan secara terperinci ciri-ciri untuk mengenali pasangan baik suami mahupun isteri dan juga anak anak sendiri. Benarlah jika setiap daripada kita memiliki kunci ini, ia menjadi rahsia penting dalam memelihara kerukunan rumah tangga masing-masing.

Dengan pengetahuan dan pengalaman yang luas, Encik Ibrahim berjaya membawa mesej seminar ini dengan menarik, berkesan dan berisi. Antara aspek yang ditekan oleh beliau ialah perlunya menjaga hubungan keintiman antara suami isteri kerana banyak pasangan yang bercerai kerana mengabaikan aspek ini. Rumah tangga dapat dimantapkan jika suami isteri bersedia untuk bertolak ansur dan memfokuskan kepada matlamat rumah tangga yang didirikan berteraskan syariat Islam.

Tinjauan terhadap para peserta selepas tamatnya program mendapati majoriti berpuas hati dengan penyampaian dan pengisian seminar. Rata-rata peserta berharap agar tempoh masa setiap slot diperpanjangkan untuk perbincangan yang lebih terperinci. Majoriti peserta bersetuju perjalanan Halaqah Keluarga di rumah secara berkala diperkasakan bagi menyuburkan lagi  keharmonian dan kelestarian Baitul Muslim. Aktiviti halaqah keluarga ini perlu dilaksanakan secara bersama oleh setiap ahli keluarga dengan kreativiti pendekatan serta bersesuaian dengan latar belakang keluarga masing-masing.

Resolusi utama hasil dari penganjuran seminar pada kali ini adalah setiap peserta perlu berusaha mewujudkan dan melaksanakan halakah keluarga atau usrah keluarga di dalam rumah tangga masing-masing. Keazaman ini digerakan melalui insiatif mewujudkan satu kumpulan whatsapp terdiri daripada semua peserta untuk berkongsi pandangan, buah fikiran dan perbincangan bagi mencapai resolusi ini.


Laporan Abd. Halim Khudri, Biro Penerangan HALUAN Pulau Pinang