fbpx

HALUAN Perak Maulid Bersama Orang Asal

HALUAN Perak Maulid Bersama Orang Asal

HALUAN Perak Maulid Bersama Orang Asal

IPOH, 20 Nov 2018 — Seramai 60 ahli HALUAN cawangan negeri Perak meraikan sambutan Maulidur Rasul bersama lebih 130 orang asal Kampung Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan kelmarin.

Program Sambutan Maulidurasul yang dianjurkan oleh HALUAN Perak dengan kerjasama Kelab Belia HALUAN Perak (KBHI), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan JKK Kampung Sungai Tonggang itu telah berjaya merapatkan hubungan silaturahim di antara masyarakat Kampung Sungai Tonggang dan ahli-ahli HALUAN.

Program ini diserikan lagi dengan kehadiran Penggerak Masyarakat Orang Asli JAKIM, Ustazah Hirdanwati Mohamad dan Pembantu Hal Ehwal Islam (Muballigh Islam), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), Ustaz Abdul Halim Abdul Latiff serta Pengetua Maahad Tahfiz Ad Daie Wal Diniah (MADANI), Ustaz Abdul Latif Ismail. Ustaz Abdul Latif telah mengambil peluang berkongsi perihal peribadi Rasulullah di dalam slot Ceramah Maulidurrasul.

Sambutan turut diceriakan dengan perkongsian Kenali Rasulullah diikuti peraduan mewarna Karikatur Cinta Nabi Muhammad SAW untuk kanak-kanak dan pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh pasukan Biro Kesihatan HALUAN untuk golongan dewasa sebelum diakhiri dengan jamuan makan tengah hari yang disediakan secara bergotong-royong oleh Biro Haluanita dan penduduk Kampung Sungai Tonggang.

Program ini diadakan secara serampang dua mata iaitu melibatkan relawan-relawan baru HALUAN Perak yang turun beraktiviti dengan masyarakat dan menyantuni mereka selain daripada menerapkan nilai-nilai cinta terhadap peribadi Rasulullah SAW dalam aktiviti yang dijalankan.

Yang Dipertua HALUAN Perak, Encik Amran Yeop menyifatkan program tersebut amat menepati motto HALUAN, iaitu Berakhlak, Mendidik dan Berbakti. Menurutnya lagi, HALUAN Perak merancang untuk mempelbagaikan lagi program-program kemasyarakatan di Kampung Sungai Tonggang pada masa akan datang.

Tok Batin Kampung Sungai Tonggang, Encik Wan Alang berkata, ini adalah satu program yang baik dan wajar untuk diteruskan pada masa akan datang. Beliau berterima kasih kepada ahli-ahli HALUAN yang sanggup bersusah payah meredah hutan semata-mata untuk meraikan sambutan Maulidurasul bersama sama warga penduduk di situ.

_
Laporan Unit Media
Kelab Belia HALUAN Perak

Sukarelawan tidak melepaskan peluang bergambar bersama penduduk Kampung Tonggang
Anak-anak Kampung Tonggang tekun mewarna
Penduduk Kampung Tonggang tidak melepaskan peluang membuat pemeriksaan kesihatan
Sesi pengenalan Rasulullah bersama anak-anak Kampung Tonggang
Tok Batin gembira dengan kehadiran relawan relawan HALUAN
Yang Dipertua HALUAN Perak, Encik Amran Yeop