fbpx

HALUAN Palestin giatkan aktiviti kesedaran di negeri Perlis

HALUAN Palestin giatkan aktiviti kesedaran di negeri Perlis

HALUAN Palestin giatkan aktiviti kesedaran di negeri Perlis

Kesedaran tentang permasalahan Palestin perlu disampaikan kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira di mana mereka berada.


Kekejaman rejim Zionis yang berterusan sejak mereka menduduki bumi Palestin secara haram pada tahun 1948 menunjukkan peri pentingnya semua lapisan masyarakat, terutamanya generasi muda, untuk memahami isu ini dengan sebaiknya. Sikap Zionis yang tidak memperdulikan asas-asas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa akan berterusan hingga ke generasi akan datang.

Alhamdulillah aktivis-aktivis HALUAN Palestin terus menggiatkan program menyedarkan masyarakat di seluruh negara tentang perkara ini.

Di negeri Perlis, HALUAN Palestin menjalankan aktiviti ceramah kesedaran dan pengedaran maklumat dalam bentuk brosur kepada masyarakat.

18 Januari lalu, Malam Kesedaran Palestin telah diadakan di Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri. Majlis yang dihadiri oleh 400 orang pegawai dan pelajar IKM tersebut telah dimulakan dengan persembahan dan bacaan Ikrar Palestin oleh pelajar IKM, diikuti dengan ucapan aluan oleh Bahagian HEP, Ustaz Fairuz. Sesi ceramah Palestin telah disampaikan oleh saudara Abdul Rahman bin Daud dan diikuti dengan sesi tayangan multimedia. Majlis diakhiri dengan upacara penyerahan kutipan tabung Palestin IKM kepada wakil HALUAN Palestin.

Manakala di Balik Guar, Ceramah Kesedaran Palestin telah diadakan dalam sesi kuliah maghrib kepada 80 orang pelajar MMU dan hampir 50 orang penduduk kampung Balik Guar pada 20 Januari. Majlis diakhiri dengan upacara jamuan kenduri oleh penduduk kampung.

Ceramah-ceramah turut diadakan di Pusat Giat Mara Kangar dan Politeknik Pauh.

HALUAN Palestin juga telah dapat bekerjasama dengan badan dan NGO lain untuk menyebarkan kesedaran permasalahan Palestin di negeri Perlis. Dalam Program Jom Pi Masjid anjuran Jabatan Agama Islam Perlis dan ABIM Perlis, HALUAN Palestin telah mengadakan Tayangan Multimedia kepada peserta program tersebut.

Manakala pada 24 Januari 2009, HALUAN Palestin telah mengadakan sesi tayangan multimedia selepas solat Maghrib di Masjid Istiqomah, Bintong, Perlis. Sesi anjuran bersama ABIM Perlis ini telah dikendalikan oleh saudara Abdul Rahman bin Daud dan saudara Munaim Abd Halim.

Semoga masyarakat negara kita mendapat persepsi dan kefahaman yang jelas tentang permasalahan besar ini. Diharapkan kita dapat terus membantu mangsa-mangsa kezaliman Zionis Israel yang masih berterusan hingga ke saat ini.