fbpx

HALUAN Pahang Santuni Saudara Baru Di Karnival Muhibbah & Ukhuwah

HALUAN Pahang Santuni Saudara Baru Di Karnival Muhibbah & Ukhuwah

HALUAN Pahang Santuni Saudara Baru Di Karnival Muhibbah & Ukhuwah

KUANTAN, 17 Okt, 2015 — HALUAN Cawangan Pahang telah meraikan saudara baru di negeri itu bersempena Karnival Muhibbah dan Ukhuwah anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Pahang pada 14-15 Oktober lepas di sini. Program berkenaan adalah bersempena sambutan Maal Hijrah 1437H Peringkat Negeri Pahang.

Karnival dua hari dua malam itu telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Sri Wan Abd Wahid Wan Hassan. Karnival tersebut bertujuan mengeratkan lagi hubungan ukhuwah dan mahabah khususnya di kalangan saudara baru Islam melalui aktiviti kebersamaan dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Negeri Pahang, termasuklah HALUAN Cawangan Negeri Pahang.

Dalam ucapannya, TYDP MUIP merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak NGO yang turut serta menyertai dan menjayakan karnival yang julung kalinya diadakan oleh pihak JAIP di lokasi terbuka di tengah bandar Kuantan ini.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pameran agensi dan NGO, jejak kasih mualaf, gerai jualan saudara baru, futsal, forum agama, hiburan Islam dan lain-lain. HALUAN Pahang yang turut menyertai karnival ini telah mengambil bahagian secara aktif bagi menjayakannya tersebut.

Menurut Yang Dipertua HALUAN Pahang, Encik Mohd Ghani Salleh, beberapa siri mesyuarat dan penyelarasan telah dibuat dengan pihak JAIP dan HALUAN berjaya menyertai dan mengambil bahagian dalam aktiviti booth pameran NGO, gerai jualan barangan koperasi KOBI dan jejak mualaf.

Seusai majlis perasmian, TYDP MUIP Dato’ Sri yang diringi oleh Pengarah JAIP telah membuat lawatan ke booth pameran agensi dan NGO termasuklah booth HALUAN Pahang. Encik Mohd Ghani telah memberikan taklimat ringkas kepada Dato Sri mengenai projek-projek kebajikan untuk saudara baru oleh HALUAN dan projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah.

TYDP MUIP kelihatan berminat dengan projek kebajikan yang telah dijalankan oleh pihak HALUAN dan mencadangkan pihak HALUAN mengemukakan kertas cadangan projek usahasama kepada pihak MUIP untuk pertimbangan lanjut.

Biro HALUANITA Pahang turut diberi peranan menyertai program jejak mualaf dengan menziarahi dan menyantuni saudara baru melalui senarai nama yang telah diserahkan oleh pihak JAIP dan Perkim sebelum hari karnival lagi.

Menurut Ketua Biro HALUANITA Pahang, Dr Fatimah Abd Majid, kebanyakan saudara baru yang diziarahi adalah wanita yang kurang bernasib baik termasuklah di kalangan janda, ibu tunggal dan miskin. Pada hari karnival berlangsung, mereka telah dibawa ke booth HALUAN dan beramah mesra dengan saudara mereka yang lain bersama ahli ahli HALUAN serta diberikan hadiah cenderahati.

Mereka sangat terharu menerima kunjungan serta santunan ukhuwah dan mahabah dari ahli HALUAN yang sanggup turun padang menjejaki kediaman mereka dan melihat sendiri realiti kehidupan mereka. Semua ini dalam rangka memberi kefahaman Islam dan beramal dengan Islam sebagai cara hidup yang mampu memberi kebahagian dan ketenangan dalam kehidupan. Mereka sangat mengharapkan ukhuwah ini dapat terus terjalin dimasa akan datang. InsyaAllah, HALUAN Pahang akan teruskan santunan ini.

Melalui program Karnival Ukhuwah dan Mahabbah ini, HALUAN Pahang telah berjaya membawa mesej Berakhlak, Mendidik dan Berbakti kepada masyarakat umum, sesuai dengan motto HALUAN. Program ini juga telah membuka peluang dan ruang kerjasama yang lebih luas di masa depan bagi membantu pihak berkuasa agama negeri, khasnya Jabatan Agama Islam Pahang dan Majlis Agama Islam Pahang, untuk memajukan kehidupan beragama kepada masyarakat dan membangunkan syiar Islam di Negeri Pahang Darul Makmur ini.


Laporan Biro Penerangan HALUAN Pahang