fbpx

HALUAN Pahang Mendidik Jatidiri Pelajar-Pelajar Pilihan SMK Paya Besar, Kuantan

HALUAN Pahang Mendidik Jatidiri Pelajar-Pelajar Pilihan SMK Paya Besar, Kuantan

HALUAN Pahang Mendidik Jatidiri Pelajar-Pelajar Pilihan SMK Paya Besar, Kuantan

KUANTAN, 3 November – HALUAN Pahang meneruskan usaha berbakti kepada masyarakat dengan memberi tumpuan kepada program pendidikan bagi melahirkan warga negara yang berilmu dan berakhlak mulia.


Terbaru HALUAN Pahang telah mendapat kepercayaan dan diberi amanah oleh SMK Paya Besar Kuantan, Pahang untuk mengisi program pemantapan jatidiri dan sahsiah terpuji kepada pelajar-pelajar  putera dan puteri tingkatan 1 dan 2.

Program telah diadakan pada 2 hingga 3 November 2010 bertempat di Kempvilla Resort, Kg Kempadang, Kuantan yang disertai seramai 60 orang pelajar terpilih beserta beberapa guru-guru pengiring. Tujuan program ini  adalah untuk membentuk pelajar-pelajar  agar mempunyai jatidiri dan disiplin yang tinggi dan terhindar dari melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan masa depan mereka. HALUAN Pahang telah mendapatkan khidmat dari motivator dan fasilitator  terlatih dari Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) Kelantan dan HALUANSiswa Pahang yang diketuai oleh Sdr. Razali b. Maarof bersama 8 orang fasilitator lelaki dan perempuan.

Menurut Penyelaras Program HALUAN Pahang, Sdr Abd Bashir Abd Ghani, program selama 2 hari 1 malam ini sedikit sebanyak telah berjaya memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar untuk mereka memahami tujuan menuntut ilmu dan kepentingan berakhlak mulia. Di usia yang sebegini muda dan mentah, mereka mudah terpengaruh dengan budaya songsang yang boleh merosakkan masa depan mereka jika tidak dibendung dengan segera. Justeru itulah pihak sekolah menganjurkan program ini dan memberi kepercayaan kepada HALUAN untuk membentuk pelajar-pelajar terpilih ini.

Beberapa modul pengisian program telah dijalankan oleh motivator dan fasilitator bagi memastikan program dapat berjalan dengan baik dan lancar serta mengembirakan mereka. Fasililtator terpaksa mengerahkan kepakaran dan pengalaman mereka bagi mengendalikan program ini dengan berbagai pendekatan walaupun agak keletihan melayani karenah nakal peserta. Maklumlah berhadapan pelajar-pelajar pilihan yang masih terumbang ambing menentukan karisma mereka. Berkat kesabaran abang-abang dan kakak-kakak fasilitator , mereka semua gembira dan seronok menyertai program ini.

Antara pengisian program yang dapat dan sempat  dilakukan dalam masa yang terbatas ini termasuklah ceramah motivasi, latihan dalam kumpulan (LDK), riadhah, solah berjemaah, qiamullail , sesi muhasabah dan kaunseling. Program perasmian penutupan bersama ibubapa mereka telah diadakan pada 3 November 2010 jam 3.00 petang di sekolah mereka dengan acara penyampaian hadiah dan  sijil oleh Pengetua sekolah. Sebelum ucapan penutup, satu ceramah keibubapaan bersama dengan ibubapa peserta telah disampaikan oleh Tn. Hj. Ibrahim b. Abd. Rahman dari HALUAN Pusat. Ucapan penutupan telah disempurnakan oleh Pengetua Sekolah, En. Nandrakumaran.

Dalam ucapannya, beliau berulang kali mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak HALUAN kerana sudi membantu pihak sekolah mendidik pelajar-pelajar mereka. Suatu usaha kerjasama yang kukuh antara pihak sekolah dengan NGO. Beliau berharap pihak HALUAN akan dapat mengisi lagi program mendidik pelajar-pelajar mereka dimasa akan datang.Terdahulu dalam ucapan  mewakili HALUAN Pahang, Sdr Abd. Bashir  merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak sekolah yang telah memberi peluang kepada HALUAN Pahang mendidik pelajar mereka dan berharap usaha yang baik ini berterusan di masa akan datang. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ustazah Norehan GPK SMK Paya Besar selaku guru penyelaras program yang telah banyak memberi kerjasama dan bertungkus lumus bagi memastikan kelancaran program ini. Juga kepada semua fasilitator dan penceramah yang begitu komited membantu menjayakan program ini.