fbpx

HALUAN Pahang Hulur Sumbangan Pasca Banjir

HALUAN Pahang Hulur Sumbangan Pasca Banjir

HALUAN Pahang Hulur Sumbangan Pasca Banjir

KUANTAN, 26 Jan 2014 – Usaha membantu masyarakat dan penduduk yang ditimpa banjir besar di Kuantan pada awal Disember 2013 masih terus berjalan.

Pada 25 Januari lepas HALUAN Pahang dengan kerjasama Sekolah Rendah Islam Ibnu Abbas ( SeRIA) telah mengadakan majlis penyampaian sumbangan pasca banjir kepada beberapa penduduk sekitar Kampung baru MPK, Permatang Badak dan Kampung Cendering termasuklah murid-murid SeRIA yang turut menjadi mangsa banjir.

Majlis sumbangan yang melibatkan 160 orang penerima tersebut telah disampaikan oleh wakil HALUAN Malaysia, Encik Sabaruddin Mohd Alias dan Guru Besar SeRIA, Encik Suhaimi Mohd Dahan.

Yang Dipertua HALUAN Pahang, Tg Abd Rashid Tg Othman berkata bantuan kewangan yang diberikan kepada penduduk ini adalah hasil daripada sumbangan orang ramai seluruh negara melalui pelancaran kutipan Misi Kemanusiaan Banjir Pahang yang diujudkan oleh HALUAN. HALUAN Pahang telah diamanahkan untuk menyampaikan sumbangan ini.

Sebanyak RM40,000 telah diagihkan kepada ketua keluarga yang terlibat bagi meringankan beban isi rumah akibat kerosakan harta benda mereka.

Majlis sumbangan bantuan banjir ini turut dimeriahkan lagi dengan persembahan alunan nasyid selawat dari pelajar SeRIA, ceramah khas ibrah banjir, program pemeriksaan kesihatan percuma oleh sukarelawan doktor Kelab Kesihatan HALUAN dan pameran prihatin nasib umat Islam di Syria.

Tg Abd Rashid berkata program ini telah mendapat kerjasama baik daripada penduduk kampung serta pihak SeRIA di mana anak-anak murid sekolah yang turut terlibat dengan banjir juga menerima bantuan saguhati bagi membantu mereka menyediakan keperluan persekolahan.

Walaupun sumbangan yang diberikan tidaklah begitu besar namun jelas tampak kegembiraan dan kesyukuran di raut wajah mereka yang menerimanya termasuklah di kalangan guru-guru sekolah SeRIA.

Majlis berakhir dengan jamuan makan tengahari dan pengagihan buah limau kepada semua hadirin.

Laporan unit mediaHALUAN Pahang