fbpx

HALUAN Pahang Bimbing Pelajar-pelajar Yatim

HALUAN Pahang Bimbing Pelajar-pelajar Yatim

HALUAN Pahang Bimbing Pelajar-pelajar Yatim

PEKAN, 29 September 2014 — Persatuan Kebajikan Anak Yatim Negeri Pahang (PERKAYA) dengan kerjasama Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) Pahang telah berjaya mengadakan program Kem Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji ( Pro CAST ) pada 26 hingga 28 September 2014 bertempat di Rumah Penyayang Tun Abdul Razak di sini.


Seramai 93 orang pelajar anak-anak yatim berumur 16 hingga 17 tahun telah menyertai program selama tiga hari dua malam ini. Para peserta program terdiri daripada sebahagian anak-anak yatim dari 11 gabungan rumah anak yatim PERKAYA di negeri Pahang.

Tujuan utama program kem ProCAST ini adalah untuk mendidik dan membimbing pelajar-pelajar kearah mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang pendidikan akademik disamping memiliki sahsiah diri yang terpuji dan berakhlak mulia.

Program gabungan yang julung kalinya diadakan ini juga diadakan untuk memotivasi anak-anak yatim khususnya bagi yang akan menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi. Sambutan dan penyertaan daripada badan gabungan rumah anak-anak yatim di bawah naungan PERKAYA amat menggalakkan. Program telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato` Ishak b. Mohamad, Yang Di Pertua PERKAYA yang turut meluangkan masa untuk berinteraksi dan beramah mesra dengan peserta dan fasilitator program ini.

Sementara itu, menurut Pengarah program kem ProCAST, Tn Hj Ahmad Zakhir Abdullah, program ini telah mendapat kerjasama dan bantuan daripada pihak HALUAN Pahang yang telah menyediakan barisan motivator serta fasilitator terlatih daripada Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Pahang yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi dari IPT tempatan yang diketuai oleh Saudara Razali b Maarof.

Antara pengisian program termasuklah ceramah motivasi dan kauseling pendidikan, muhasabah diri, qiamullail, explorace tarbawi, latihan dalam kumpulan, riadah dan ice breaking. Menurut Tn Hj Ahmad Zakhir lagi, “para peserta sangat gembira dapat menyertai program ini dan telah menunjukkan minat yang tinggi serta saling berkerjasama dalam semangat ukhuwah yang mantap. Mereka kelihatan sangat teruja menerima sentuhan rohani dan tarbiah daripada abang dan kakak fasilitator yang sentiasa ceria meyantuni mereka seperti suatu keluarga yang intim.“

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan YDP PERKAYA Dr Hj Sarafuddin Aisa Othman dan YDP HALUAN Pahang, Tg Hj Abd Rashid Tg Othman.

YDP HALUAN dalam ucapan penutup memberi nasihat kepada peserta supaya manfaatkan ilmu yang diperolehi melalui program ini dan ucapan penghargaan kepada pihak PERKAYA yang telah memberi kepercayaan kepada HALUAN untuk menjayakan program ini.

HALUAN Pahang melahirkan rasa optimis atas usaha yang dijalankan oleh pihak PERKAYA bagi melahirkan anak-anak yatim yang cemerlang akademik dan mempunyai sahsiah terpuji. HALUAN bersedia membantu PERKAYA bagi membimbing pelajar ini melalui program anjuran HALUAN dari semasa kesemasa hingga mereka mampu mencapai keputusan terbaik dalam pelajaran dan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat sesuai dengan motto HALUAN “berakhlak, mendidik dan berbakti”.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan dan hadiah-hadiah kepada pelajar dan kumpulan yang terbaik serta barisan fasilitator pembimbing. Suasana gembira dan sedih menyelubungi peserta anak yatim dan fasilitator sebelum mereka berpisah pulang ke rumah serta asrama mereka. Mereka saling bersalaman dan berpelukan dalam suasana sebak dan tangisan. Semoga pertemuan dan perpisahan mereka diberkati oleh Allah SWT.


Disediakan oleh
Unit Media dan Penerangan 
HALUAN Pahang