fbpx

HALUAN Menyantuni Anak-anak Syria

HALUAN Menyantuni Anak-anak Syria

HALUAN Menyantuni Anak-anak Syria

KEM PELARIAN AL ZAATARI, AL MAFRAQ, JORDAN, 16 Oktober 2013 — Berdasarkan matlamat asas Misi Kemanusiaan & Korban HALUAN Syria/Jordan untuk mengagihkan daging korban kepada pelarian Syria yang amat memerlukan, sebaik-baiknya di negara Syria itu sendiri. Rombongan Misi bersama Kelab Siswa HALUAN Jordan berusaha sehabis daya untuk memasuki sempadan Syria-Jordan melalui pos sempadan Ramtha. Namun kesudahannya, pasukan ini yang diketuai oleh En Mohd Jamil Muda tidak berjaya mendapat kebenaran tentera Jordan berikutan pertempuran yang baru meletus berdekatan kawasan sempadan tersebut.

Seterusnya ikhtiar dibuat untuk melawat kem pelarian Syria yang bernama Al Zaatari di Al Mafraq, juga berdekatan sempadan Syria-Jordan. Arah tuju ke kem pelarian tersebut telah diberikan oleh para doktor hospital lapangan Bulan Sabit Merah di bawah tadbiran Emiriyyah Arab Bersatu (UAE) di Al Mafraq. Zaatari (Bahasa Arab: مخيم الزعتري), sebuah kem pelarian yang terletak 10 km di timur Mafraq, mula dibuka pada 28 Julai 2012 untuk menempatkan rakyat Syria yang melarikan diri daripada keganasan perang saudara Syria yang berterusan sejak meletus pada tahun 2011. Sehingga pada 4 Julai 2013, jumlah pelarian yang tinggal di kem ini dianggarkan berjumlah 144,000 pelarian, menjadikannya bandar keempat terbesar di Jordan.

Sejak pembukaan kem pada bulan Julai 2012, beberapa siri demonstrasi telah dilakukan oleh pelarian kem tersebut. Hal ini tercetus kerana kebimbangan mereka terhadap kekurangan bekalan makanan yang mencukupi serta keadaan penginapan yang agak daif. Kebimbangan ini semakin bertambah apabila bakal menjelangnya musim sejuk Disember ini.

Rombongan misi juga tidak bernasib baik kerana tidak mendapat kebenaran untuk memasuki kem pelarian Zaatari untuk mengagihkan daging korban atau bantuan-bantuan yang lain. Pintu masuk kem dikawal ketat oleh tentera Jordan dengan kenderaan berat seperti kereta kebal. Walaupun tidak berkesempatan untuk memasuki kem pelarian tersebut, namun pasukan tersebut diizinkan Allah SWT bersua muka dengan ramai anak-anak pelarian Syria yang bergelandangan di pintu masuk kem tersebut. Senyuman dan lambaian tangan mereka cukup menggembirakan hati para ahli rombongan.

Dianggarkan separuh daripada pelarian Syria di kem tersebut adalah kanak-kanak dan ramai daripada mereka telah kehilangan tempat pergantungan serta perlindungan hidup setelah kematian ibu bapa dan keluarga tercinta. Mereka adalah mangsa tragedi perang saudara yang amat dahsyat yang meragut nyawa insan mulus yang tidak berdosa hidup serta mengheret kebanyakan mereka ke dalam lembah kesengsaraan, keperitan dan penderitaan. Kehidupan mereka bagaikan seorang anak kecil yang merayau-rayau dalam kegelapan tanpa arah tujuan penuh kebingungan.

Mereka mengerumuni rombongan misi setibanya di pintu kem tersebut, setengahnya menitis airmata, memohon belas kasihan atas kesusahan mereka. Kata-kata mereka tidak berapa jelas kedengaran, namun boleh diertikan dengan “Berikanlah kami… berikanlah kami… untuk kami makan.”
Oleh kerana rombongan misi tidak dibenarkan untuk mengagihkan daging korban, maka apa yang mereka ada sahaja dapat diberikan. Salah seorang daripada anggota misi mencari di dalam koceknya dan menemukan sebotol minuman, lalu diberikan kepada mereka. Kelihatan sepuluh orang kanak-kanak berebut minuman tersebut. Rakan-rakan anggota misi juga memberikan apa yang mereka ada.

Apabila melihatkan keadaan mereka, anggota misi sendiri tidak dapat menahan airmata dari menitis. Sungguh kejam manusia yang menjadikan mereka sebegini. Misi Kemanusiaan & Korban HALUAN Syria/Jordan bersama Kelab Siswa HALUAN Jordan berdoa agar Allah SWT menggerakkan hati manusia-manusia lain yang bersimpati, agar dapat sama-sama memberikan sumbangan dalam bentuk apa sekalipun, agar dapat membantu meringankan penderitaan mereka, dan mengeluarkan mereka dari kesengsaraan ini.


Laporan oleh Sdr Lokman Mohd Fadzil, Tim Media, Misi Kemanusiaan & Korban HALUAN Syria/Jordan