fbpx

HALUAN Membawa Amanah Ke Gaza

HALUAN Membawa Amanah Ke Gaza

HALUAN Membawa Amanah Ke Gaza

KUALA LUMPUR 23 April, 2012 – Sepuluh orang relawan HALUAN Malaysia akan berlepas ke Gaza minggu ini bagi menyampaikan amanah rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza.

Misi ini dilihat sebagai kesinambungan usaha berterusan HALUAN, setelah menghantar beberapa misi sebelum ini termasuklah penyertaan dalam Viva Palestina 3 dan juga Freedom Flotilla bersama kapal MV Mavi Marmara.

Walau bagaimanapun misi kali ini lebih menjurus kepada usaha penyelarasan bantuan strategik melalui kerjasama NGO di Gaza. Ikuti temuramah ringkas Media HALUAN bersama ketua misi yang juga merupakan Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan.

Media HALUAN:
Assalamualaikum Dr. Boleh Dr jelaskan sedikit tentang latarbelakang misi ke Gaza kali ini?

Dr Syed Muhammad Haleem:
Waalaikumussalam Wr Wb, terima kasih kepada pihak Media HALUAN.

Alhamdulillah, setelah melalui prosedur yang panjang untuk mendapat kelulusan Wisma Putra dan pihak berkuasa Mesir, HALUAN akhirnya mendapat kebenaran untuk memasuki sebahagian daripada bumi Palestin yang diberkati Allah, iaitu wilayah Gaza.

InsyaAllah seramai 10 orang relawan HALUAN daripada pelbagai latarbelakang dan tugasan akan memasuki Gaza minggu ini dan berada di sana sekitar 10 hari. Alhamdulillah segala persiapan dan jadual kami di sana akan dibantu oleh rakan NGO di sana iaitu Al Sarraa Foundation for Humanitarian Relief (Al Sarraa.) Sebenarnya untuk misi ini, HALUAN telah mendapat jemputan rasmi dari Al Sarraa yang diperpanjangkan melalui kelulusan Kementerian Dalam Negeri Palestin.

Media HALUAN:
Secara spesifik, apakah objektif yang ingin dicapai oleh misi kali ini?

Dr Syed Muhammad Haleem:
Memang misi HALUAN kali ini lebih fokus kepada perkara-perkara berkaitan dengan bantuan strategik. Seperti yang kita maklum, HALUAN telah memutuskan untuk memberikan fokus kepada bantuan dalam sektor kesihatan dan pendidikan. Namun begitu, pada asasnya semua perkara berkaitan permasalahan Palestin ini adalah merupakan amanah ke atas setiap kita. Jadi semua bentuk bantuan dan sumbangan, kecil atau besar, atau hanya dengan menadah tangan berdoa kepada Allah, haruslah diberikan secara berterusan oleh setiap orang sehinggalah setiap inci bumi Palestin dan seluruh Masjid Al-Aqsa dibebaskan daripada pendudukan haram Zionis Yahudi.

Kami menggariskan 5 objektif utama untuk misi kali ini, iaitu untuk

mengaudit keberkesanan projek-projek bantuan di Gaza yang HALUAN telah laksanakan sejak tahun 2009,
mengikat persefahaman dengan beberapa NGO di Gaza untuk projek-projek bantuan strategik melibatkan sektor pendidikan dan kesihatan,
menyampaikan bantuan masyarakat Malaysia yang disalurkan melalui HALUAN secara terus kepada rakyat Gaza,
melihat serta melaporkan keadaan sebenar kehidupan di Gaza yang telah diembargo oleh Zionis Yahudi sejak lebih 5 tahun lalu, dan
meneruskan usaha untuk meroboh embargo Zionis ke atas Gaza.
Sebenarnya masyarakat Gaza juga sangat mengharapkan sokongan moral masyarakat luar. Kehadiran misi seperti ini, tidak kira dari mana sekalipun, atau samada komuniti Islam atau tidak, menunjukkan penerusan usaha meruntuhkan embargo zalim yang dikenakan oleh Zionis Yahudi ke atas mereka.

Media HALUAN:
Apa agaknya aktiviti-aktiviti yang akan dibuat di Gaza?

Dr Syed Muhammad Haleem:
Kalau kita melihat objektif-objektif yang saya sebut tadi, sudah tentu kami akan mengadakan kunjungan ke tapak-tapak projek yang dilaksanakan oleh HALUAN Malaysia di Gaza. Antaranya adalah 3 projek telaga tiub di Universiti Islam Gaza dan di Khan Younis, begitu juga projek bantuan kredit ternakan lembu, dan kilang jahitan.

InsyaAllah kami akan berkunjung dan bersolat di Masjid Sheikh Ahmad Yassin, yang dibina semula sebahagiannya melalui sumbangan ikhlas para dermawan Malaysia melalui HALUAN.

Kami juga dijadualkan untuk membuat lawatan mahabbah dan teknikal ke beberapa buah hospital, sekolah dan juga tadika, di samping kunjungan ke beberapa kementerian yang berkaitan termasuklah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

Sedikit sumbangan rakyat Malaysia yang kami bawa akan disampaikan kepada anak-anak yatim dan kaum ibu di kem-kem pelarian, terutama sekali di Kem Jabaliya di utara Gaza.

Memang banyak aktiviti yang perlu kami buat, jadi apabila di sana nanti kami akan berpecah kepada dua kumpulan supaya semua objektif misi ini terlaksana dalam keterbatasan waktu yang singkat.

Media HALUAN:
Apakah Dr melihat sebarang risiko besar dalam misi ini?

Dr Syed Muhammad Haleem:
Di mana-mana pun ada risiko! InsyaAllah misi ini telah mendapat keizinan dari 3 pihak, iaitu Wisma Putra, pihak berkuasa Mesir dan juga Kementerian Dalam Negeri Palestin. Saya yakin kelulusan oleh semua pihak tersebut dibuat setelah mengambil kira kepentingan dan keselamatan semua pihak.

Doakanlah semoga Allah permudahkan misi ini dan semua objektifnya akan dapat dilaksanakan dengan baik. Kami ibarat mewakili rakyat Malaysia yang telah menderma sekian lama serta amat prihatin dengan kesengsaraan penduduk di Gaza. InsyaAllah, kami akan menyiarkan laporan-laporan kami untuk tatapan umum dari masa ke semasa

Media HALUAN:
Dr, dengarnya para relawan HALUAN mengeluarkan belanja sendiri untuk mengikut misi ini. Betulkah begitu?

Dr Syed Muhammad Haleem:
Ya. Kepimpinan HALUAN melihat misi ini sebagai satu amanah yang sangat besar. Wang sumbangan untuk rakyat Palestin hanya akan digunakan untuk kepentingan rakyat Palestin secara langsung. Jadi, setiap relawan yang menyertai misi ini diminta mencari sumber kewangan sendiri untuk membiayai kos perjalanan dan sara diri sepanjang misi ini. Dari situ, kami berusaha mencari rakan-rakan dan saudara-mara yang boleh menaja dan membantu kami.

Jadi, peluang untuk membantu misi ini masih terbuka luas. Saya teringat kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim, bermaksud, “Sesiapa yang membantu mempersiapkan seseorang yang akan bertempur, maka samalah ia sebagaimana orang yang bertempur. Dan sesiapa yang membantu ahli keluarga orang yang bertempur maka samalah ia sebagaimana orang yang bertempur.”

Hadis ini sangat jelas sekali maksudnya.

Media HALUAN:
Bagaimana dengan penerusan misi bantuan selepas ini?

Dr Syed Muhammad Haleem:
InsyaAllah misi seperti ini akan diteruskan, mungkin juga secara kolektif bersama-sama NGO-NGO lain. Alangkah baiknya jika kita dapat berkunjung ke Gaza dengan lebih kerap, supaya embargo jahat Zionis Yahudi akan runtuh dan akhirnya membawa kepada kebebasan untuk rakyat Gaza sepertimana masyarakat di negara lain.

Media HALUAN:
Apa yang Dr sangat harapkan daripada masyarakat kita di Malaysia berkaitan isu Palestin ini?

Dr Syed Muhammad Haleem:
Palestin adalah satu amanah ke atas setiap kita. Setiap amanah perlu kita tunaikan dengan sebaiknya. Alhamdulillah di Malaysia ada banyak NGO yang prihatin dan memberi fokus kepada permasalahan Palestin, cuma mungkin berbeza dari segi pendekatan dan strategi, mengikut kepakaran dan kekuatan masing-masing.

Bagi HALUAN Malaysia setiap lapisan masyarakat, daripada anak-anak lagi, perlu diberi kesedaran tentang permasalahan Palestin supaya mereka faham dan menghayati amanah tadi, dan seterusnya mereka mencintai tanah-air dan mempertahankannya daripada kerakusan bangsa penjajah. Tidak kira bangsa atau agama, tidak ada kumpulan manusia di dunia ini yang rela negara mereka dijajah oleh kuasa asing.

Bagi umat Islam pula, isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa adalah berkaitan langsung dengan permasalahan aqidah. Bumi Palestin adalah bumi wakaf umat Islam, bumi para Anbiya’. Majoriti rakyat Palestin yang disiksa adalah saudara seaqidah kita. Apabila kita tidak menghiraukan permasalahan ini, bererti kita tidak menghiraukan sebahagian daripada juzuk-juzuk aqidah kita. Mahukan kita menjadi orang Islam yang cacat aqidah?

Media HALUAN:
Bagaimana cara untuk masyarakat terus membantu?

Dr Syed Muhammad Haleem:
Semua kita faham bahawa untuk melaksanakan projek bantuan ia memerlukan dana yang berterusan. Jadi, sumbangkanlah sedikit daripada harta yang Allah anugerahkan kepada kita. Didiklah anak-anak untuk menabung dan seterusnya menderma simpanan itu untuk rakan-rakan mereka di Palestin, supaya mereka juga dapat menjiwai perjuangan rakan-rakan di Palestin berhadapan dengan kejahatan Zionis Yahudi.

Sekiranya sumbangan itu ingin disampaikan melalui HALUAN, akaunnya adalah seperti di bawah:

Tabung Palestin HALUAN
BIMB: 14-023-01-003429-2
Maybank: 5644 9020 8528

Di samping itu, sebarkanlah permasalahan Palestin ini kepada seluruh masyarakat kita. Sertailah mana-mana NGO untuk membantu secara tersusun, di samping mendapatkan maklumat dan kefahaman yang sebenar tentang permasalahan Palestin ini. Banyak juga maklumat yang terdapat di Internet itu tidak tepat dan dimanipulasi oleh pihak tertentu. Oleh itu kita harus merujuk kepada sumber yang betul, terutama sekali melalui NGO yang aktif dalam arena ini

Media HALUAN:
Boleh mereka bersama HALUAN menjadi sukarelawan?

Dr Syed Muhammad Haleem:
Ya, memang HALUAN secara berterusan melahirkan sukarelawan dari kalangan masyarakat. Fungsi mereka sangat penting untuk membantu memberi kesedaran kepada masyarakat di samping mengutip dana bantuan secara berterusan.

Untuk makluman awal, HALUAN akan mengadakan program Latihan Untuk Pelatih (Training for Trainers) berkaitan Palestin kepada sukarelawan HALUAN pada bulan September nanti. Nantikan maklumat lanjut di laman web atau facebook HALUAN, atau boleh juga hubungi terus pejabat Biro HALUAN Palestin di talian 03 7831 5741 atau 019 218 7861 (En Mus’ab Shaari.)

Media HALUAN:
Terima kasih Dr Syed Muhammad Haleem. Kami doakan misi ini berjaya dan semua para relawan akan pulang dengan pengalaman dan semangat baharu, insyaAllah.

Dr Syed Muhammad Haleem:
Terima kasih kepada pihak Media HALUAN. Teruskanlah doa anda semua untuk bumi dan rakyat Palestin!