fbpx

HALUAN Malaysia Dan Pusat Hemodialisis Nur’Ain Memeterai Usahasama

HALUAN Malaysia Dan Pusat Hemodialisis Nur’Ain Memeterai Usahasama

HALUAN Malaysia Dan Pusat Hemodialisis Nur’Ain Memeterai Usahasama

Rawang, 19 Februari 2012 – HALUAN Malaysia telah memeterai satu perjanjian usahasama dengan sebuah syarikat pengendali perkhidmatan hemodialisis, Nephron Resources yang mengendalikan Pusat Hemodialisis Nur’Ain di Pusat Perindustrian Taman Pelangi.

Dengan kerjasama ini, HALUAN Malaysia melalui Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) akan bersama-sama membantu mengendalikan pusat hemodialisis ini.

Perjanjian usahasama ditandatangani oleh Presiden HALUAN Malaysia, Dr Abdullah Sudin Bin Abd. Rahman, Pengurus Pusat Hemodialisis Nur’Ain, En Jamal Abdul Nasir Bin Jamaludin dan Dr S Sharifah Binti Syed A Bakar yang mewakili pihak Nephron Resources.

Dalam ucapan aluan, Dr Abdullah mengingatkan kepentingan bekerjasama dan bantu-membantu dalam perkara-perkara kebaikan. Beliau memetik firman Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat 2 “…dan bantu-membantulah kalian dalam perkara kebaikan dan takwa dan janganlah bantu-membantu dalam dalam perbuatan dosa dan permusuhan.”

Beliau turut menyentuh kemelut yang sedang dihadapi oleh umat Islam hari ini di seluruh dunia daripada sudut politik, ekonomi, keruntuhan sosial, kekeliruan intelektual dan pengurusan yang tidak cekap yang meninggalkan kesan yang amat besar kepada kehidupan dan kemajuan umat Islam.

“Tiada jalan lain yang dapat menyelesaikan kemelut tersebut selain kembali kepada proses pendidikan yang ditunjukkan Rasulullah SAW yang bersumberkan al-Quran yang akan membentuk keimanan, akhlak dan seterusnya akan melahirkan insan-insan yang berbakti kepada masyarakat,” ujar beliau.

Majlis turut dihadiri para pesakit yang sememangnya menggunakan perkhidmatan rawatan dialisis di sini beserta sekitar 40 orang pelajar dari sekolah tahfiz persendirian dan juga masyarakat setempat dari kariah Masjid Nurul Iman.