fbpx

HALUAN Lunaskan Korban 1438H

HALUAN Lunaskan Korban 1438H

HALUAN Lunaskan Korban 1438H

BANDAR BARU BANGI, 5 Sept 2017 – HALUAN melalui Program Ibadah Korban HALUAN 1438H telah berjaya melunaskan amanah peserta korban 2017 dengan menghantar pasukan-pasukan relawannya sendiri ke Kemboja, Sri Lanka, Acheh, India dan kem pelarian Rohingya di Bangladesh. Amanah korban juga telah dilaksanakan oleh wakil kami di luar negara iaitu di Palestin, Jordan, Syria, Sudan, Somalia dan Mesir.

Sebanyak 3,126 bahagian korban telah diamanahkan kepada HALUAN dan seramai 12 anggota relawan HALUAN telah diterbangkan khas ke setiap lokasi tersebut bagi melaksanakan amanah ini. Korban dijalankan dengan pemerhatian relawan untuk memastikan korban tersebut benar-benar dilakukan dan sah mengikut syariat Islam.

Wakil HALUAN telah bertemu dengan kepimpinan wakil-wakil NGO tempatan sebelum menjelang Eidul Adha untuk memeriksa dan mengesahkan keadaan haiwan-haiwan korban berkenaan. Malah di sesetengah lokasi, relawan HALUAN turut membantu proses penyembelihan.

“Ini kali yang ke-17 kami membawa amanah korban rakyat Malaysia ke negara-negara yang memerlukan. Sudah menjadi kewajipan bagi kami memastikan setiap urusan korban dilaksanakan secara teliti untuk memastikan segala syarat sah korban dapat dipenuhi semuanya. Oleh itu, kami amat berhati-hati untuk memilih rakan kerjasama kami di negara-negara tersebut. Kami juga memastikan agar agihan daging itu sampai kepada kelompok sasaran yang sangat memerlukannya,” jelas Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Mohd Azhar Md. Idris.

Tambah beliau lagi, “Kami di HALUAN telah melakukan yang terbaik mungkin untuk memastikan agar amanah peserta korban ini dilaksanakan sebaik cara mengikut syarat-syarat sahnya. Dan alhamdulillah, amanah tersebut dapat kami lunaskan dengan izin Allah SWT dan doa daripada peserta. Kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan korban ini. Tanpa anda, kami tidak mampu untuk membantu mereka yang daif di negara-negara berkenaan. Kami berhasrat untuk membantu lebih ramai lagi umat Islam yang lebih memerlukan di tahun akan datang.”

Laporan Biro Kebajikan HALUAN