fbpx

HALUAN Lancar Tabung Mangsa Banjir

HALUAN Lancar Tabung Mangsa Banjir

HALUAN Lancar Tabung Mangsa Banjir

BANDAR BARU BANGI, 6 Nov 2017 – Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) telah melancarkan Kempen Tabung Kemanusiaan Banjir Pulau Pinang di sini hari ini. Ia susulan daripada bencana banjir yang telah melanda negeri itu semenjak minggu lepas. Pulau Pinang mencatatkan taburan hujan tertinggi pada 300 ml hujung minggu lalu menyebabkan berlakunya banjir besar di merata tempat di pulau dan di Seberang Perai.

Kempen Tabung Kemanusiaan Banjir Pulau Pinang ini bertujuan mengumpulkan sumbangan wang daripada orang ramai untuk membantu mangsa banjir melalui penyaluran barang-barang keperluan seperti makanan, air bersih, ubatan dan peralatan penjagaan diri dan juga menampung kos operasi pembersihan.

Menurut ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Mohd Azhar Md Idris, “kami tidak hanya berusaha untuk membantu mangsa banjir dari segi barangan dan makanan, malah kami juga melibatkan diri di dalam operasi pembersihan pasca banjir. Ini kerana kami sedar bahawa kerja pembersihan adalah satu kerja yang berat dan memerlukan tenaga yang ramai. Maka kami juga menawarkan tenaga kerja sukarelawan HALUAN dari seluruh negara bagi membantu operasi pembersihan bagi meringankan beban mangsa banjir sepertimana kami laksanakan secara berkesan di pusat-pusat banjir negeri-negeri sebelum ini. Namun begitu, kami sedar bahawa kos logistik tidak kurang besarnya berbanding kos pembelian barangan keperluan mangsa banjir.”

Operasi pembersihan oleh pasukan HALUAN negeri Kedah dan Pulau Pinang sudahpun bermula pada 7 November di beberapa lokasi dan akan diteruskan sekiranya cuaca kembali stabil dan air banjir mula surut.


Laporan Muhammad ‘Izzat Mohd Ghani, Setiausaha Kerja Biro Kebajikan HALUAN