fbpx

HALUAN Lancar Kempen Sejuta Barakah Ramadan

HALUAN Lancar Kempen Sejuta Barakah Ramadan

HALUAN Lancar Kempen Sejuta Barakah Ramadan

BANDAR BARU BANGI, 22 Apr 2020 – Walaupun negara masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keadaan ini tidak menghalang HALUAN untuk terus berbakti kepada masyarakat. Hari ini, HALUAN telah mencatat sejarah apabila buat pertama kali melancarkan kempen Sejuta Barakah Ramadan secara maya.

Majlis pelancaran telah dimulakan dengan perbincangan secara atas talian tentang kelebihan-kelebihan bulan Ramadan bersama Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman dan panel jemputan Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, yang lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf. Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Encik Mubarak Ali Mohd Ismail, Ketua Biro Kebajikan HALUAN.

Kempen Sejuta Barakah Ramadan merupakan kesinambungan program tahunan HALUAN mengumpul dana bantuan untuk mereka yang memerlukan. Lazimnya, HALUAN membawakan imam-imam hufaz dari Palestin, Syria, Somalia dan Kemboja untuk bersama masyarakat Malaysia mengimarahkan bulan Ramadan melalui aktiviti solat terawih, kuliah, kelas al-Quran, pameran dan seumpamanya.

Ekoran pandemik COVID-19 dan langkah PKP, umat Islam kini tidak dapat melakukan amalan kebiasaan mereka di bulan Ramadan, seperti berterawih di masjid dan berbuka puasa bersama saudara-mara atau rakan-rakan. Justeru pelaksanaan kempen Sejuta Barakah Ramadan disesuaikan dengan realiti tersebut menerusi program dan pengisian di saluran elektronik, terutamanya media sosial. Ia juga membuka ruang besar kepada umat Islam untuk meneruskan budaya berinfak, walaupun terpaksa melakukannya melalui kaedah baharu iaitu secara atas talian.

Dr. Abdullah Sudin turut menjelaskan bahawa kempen Sejuta Barakah Ramadan menumpukan kutipan dana bagi empat agenda bantuan iaitu iftar dan sahur, pek bekalan makanan, bantuan pendidikan, dan pembinaan telaga air bersih. “Kita dapati pandemik COVID-19 dan PKP ini sangat memberi kesan kepada masyarakat, termasuk mereka yang berpendapatan rendah, ibu tunggal, dan juga keluarga-keluarga miskin,” jelas beliau. “Di luar negara pula, mereka telah begitu lama dibelenggu peperangan, penjajahan mahupun kemiskinan. Kini krisis COVID-19 menyukarkan lagi keadaan.”

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat kempen atau membuat sumbangan dengan melayari laman sesawang HALUAN di https://www.haluan.org.my/ramadan/


Laporan oleh Muhammad ‘Izzat Mohd Ghani, Setiausaha Kerja 3