fbpx

HALUAN Lancar Kempen Kutipan Rohingya

HALUAN Lancar Kempen Kutipan Rohingya

HALUAN Lancar Kempen Kutipan Rohingya

SEPANG, 1 Jan 2013 – Dua orang relawan HALUAN Malaysia ke Arakan yang membawa amanah dan sumbangan daripada rakyat Malaysia yang prihatin telah selamat pulang hari ini membawa khabar serta senarai keperluan mangsa-mangsa keganasan etnik di sana.

Pasukan yang diketuai oleh Encik Abdul Halim Kudri dan disertai wartawan mediaHALUAN Encik Umar Ismail telah disambut oleh Naib Presiden II HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin; Ketua Biro Penerangan dan Hubungan Luar HALUAN, Encik Ibrahim Abu Bakar; wartawan daripada media tempatan serta beberapa ahli HALUAN.

Dalam wawancara sejurus ketibaan di LCCT di sini, ketua misi menjelaskan bahawa puluhan ribu pelarian Rohingya di Sitamanggy hanya mampu menjadikan khemah jerami sebagai rumah tempat mereka berteduh daripada panas dan hujan. Tidak terbayangkan bagaimana mereka boleh bertahan apabila hujan lebat dan ribut taufan melanda.

Abd Halim menambah bahawa sebahagian daripada sumbangan rakyat Malaysia untuk membina rumah penginapan, telaga air bersih dan kemudahan tandas telah disampaikan sendiri kepada pelarian Rohingya di tiga lokasi berbeza.

Misi Kemanusiaan Rohingya dengan kerjasama PKPU Indonesia, NGO Yangon dan MAPIM telah berjaya memasuki dan menghulurkan bantuan ke kawasan ‘larangan’ Arakan, Sittwe dan Kem Sitamangyyi.

Dalam sesi wawancara bersama media tempatan, Naib Presiden II HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin telah melancarkan “Kempen Kutipan Rohingya”.

“HALUAN Malaysia sebagai sebuah pertubuhan NGO yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan sangat bersimpati dengan mangsa di Arakan dan menggesa semua pihak untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan sesegera yang mungkin,” tegas Sr. Mohd Sabbri.

HALUAN Malaysia terus cakna permasalahan umat Islam Rohingya dengan membuka peluang kepada masyarakat umum untuk memberi sumbangan, termasuk mereka yang bukan Islam.

“Kita yakin bahawa penganut Buddha di Malaysia sendiri pun tidak mengiktiraf sikap ekstrim penganut agama mereka di Myanmar yang sangat aib itu. Apa yang kita fahami adalah Buddha mengajar penganutnya untuk berdamai, menewaskan hawa nafsu dalam diri, menjauhi kezaliman terhadap binatang apatah lagi terhadap manusia. Apa yang kita kesalkan adalah bentuk Buddhisme di Myanmar amat ekstrim hingga boleh membunuh manusia berlainan agama tanpa halangan lagi. Dan ini dilakukan sendiri oleh para sami Buddha di sana bersama kerjasama polis dan tenteranya. Kita di Malaysia yakin mereka ini menganut ajaran sesat berlainan daripada kanun tatasusila yang boleh memalukan Buddhisme itu sendiri sebagai agama yang terkenal dengan anti-keganasan,” berkata Mohd Sabbri.

HALUAN melalui Biro Misi Kemanusiaan hari ini melancarkan Kempen Kutipan Rohingya dengan keperluan seperti berikut:

  1. PEMBINAAN SHELTERS – RM15,000.00
  2. PEMBINAAN TANDAS – RM1,000.00
  3. PEMBINAAN TUBE WELL – RM400.00

Setiap unit ‘shelter’ boleh menampung 10 keluarga terdiri daripada lima ke enam orang, lengkap dengan ruang tamu dan dapur untuk setiap keluarga. Kos setiap unit untuk menempatkan 10 keluarga ialah RM15,000 yang diperbuat daripada kayu, anyaman buluh dan zink. Penempatan mereka juga akan dilengkapkan dengan kemudahan tandas yang berharga RM1,000 setiap satu dan bekalan air bersih melalui pembinaan ‘tube-well’ yang berharga RM400 setiap satunya.

Akhirnya, HALUAN Malaysia menyeru semua ahlinya dan masyarakat yang prihatin supaya terus memberikan perhatian terhadap permasalahan masyarakat Rohingya dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk penyebaran maklumat, derma, bantuan kemanusiaan dan juga doa ikhlas. Derma daripada pertubuhan berasaskan Buddhisme juga dialu-alukan.

Sebarang sumbangan ikhlas untuk terus membantu masyarakat Islam pelarian Rohingya ini bolehlah disalurkan melalui ‘Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN’ di akaun Maybank bernombor 5622 6350 2611.