fbpx

HALUAN KL Berbakti Pascabanjir di Hulu Langat

HALUAN KL Berbakti Pascabanjir di Hulu Langat

HALUAN KL Berbakti Pascabanjir di Hulu Langat

HULU LANGAT, 6 Nov 2020  – Seramai 15 orang petugas daripada HALUAN cawangan Kuala Lumpur telah memberikan khidmat membantu kerja-kerja pembersihan di Surau Al-Ehsan, Sungai Serai di sini semalam sempena membantu mangsa yang terkena banjir kilat. 

Taburan hujan sebanyak 165 milimeter 4 November itu menyebabkan beberapa kawasan termasuk Lui, Kampung Perdik, Batu 18, Batu 17, Batu 16, Batu 14, Batu 13, Dusun Nanding, Sungai Serai dan juga Batu 10 terlibat banjir kesan limpahan air dari Sungai Langat.

Semasa memberikan perkhidmatan tersebut, petugas-petugas telah membantu membersihkan alatan dan persekitaran surau daripada lumpur, akibat daripada bencana banjir yang telah menimpa kawasan tersebut.

Perkhidmatan yang telah dilakukan selama sepanjang pagi hingga menjelang tengahari tersebut telah mendapat sokongan  pelbagai pihak. Misalnya, sepasukan anggota daripada pihak Jabatan Kerja Raya Daerah Hulu Langat telah memberikan banyak bantuan tenaga. Penglibatan jabatan kerajaan ini adalah hasil koordinasi yang dibuat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, iaitu melalui Kluster Dalam Pengurusan Sukarelawan Bencana. HALUAN Malaysia adalah salah satu pertubuhan bukan kerajaan yang telah bergabung bawah kluster ini.

Pusat Operasi Banjir dan agensi kerajaan tempatan Negeri Selangor juga telah membantu menyeliakan bantuan daripada jabatan-jabatan kerajaan yang lain. Misalnya, Pasukan Simpanan Persekutuan, Cheras telah menyumbangkan ramai anggotanya untuk membantu operasi pembersihan tersebut. Begitu juga dengan sepasukan anggota daripada Jabatan Bomba yang telah membantu melicinkan pengaliran bekalan air dan penyalurannya di sekitar kawasan surau berkenaan.

Operasi petugas turut diraikan oleh kunjungan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus. Dalam ucapannya, beliau berkata, “Selaku Ahli Parlimen Hulu Langat, saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh ahli-ahli HALUAN Malaysia yang turut sama peka dan mengambil berat soal-soal kebajikan ini.” 

Dalam ucapan balas, wakil petugas daripada HALUAN, Encik  Hasri Ahmad, yang juga merangkap Naib Presiden V (Pemuda, Sukan dan Rekreasi) berkata, “Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk kelestarian masyarakat. Oleh itu, marilah kita sama-sama turun padang dalam merealisasikan moto Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.”

Sementara itu, setiausaha Surau Al-Ehsan, Encik Muhamad Zamrin Jamlus t turut berucap. “Saya bagi pihak Surau Al-Ehsan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua petugas-petugas HALUAN Malaysia dan lain-lain yang terlibat dalam membantu membersihkan surau kami ini. Semoga Allah SWT sahajalah yang dapat membalasinya,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, HALUAN Kuala Lumpur telah melancarkan tabung dana bagi membiayai pembelian dan penggantian permaidani surau berkenaan serta peralatan-peralatan lain yang telah rosak. Sasaran dana ialah sebanyak RM10,000 sahaja, yang boleh disumbangkan ke akaun berikut : 

No akaun : 140 140 1015 1484 (Bank Islam Malaysia Berhad)

Nama akaun : Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia Cawangan Kuala Lumpur

Selepas menderma, silalah menghantar pesanan kiriman infak tuan-puan kepada:

Email: kuala.lumpur@haluan.org.my, ataupun

Mesej WhatsApp ke nombor telefon : 013-392 9929

Semoga sumbangan anda berkekalan sebagai bekalan di akhirat sana nanti.


Laporan Unit Media HALUAN, HALUAN cawangan Kuala Lumpur