fbpx

HALUAN Kelantan Anjur Forum Isra’ Mikraj

HALUAN Kelantan Anjur Forum Isra’ Mikraj

HALUAN Kelantan Anjur Forum Isra’ Mikraj

KOTA BHARU, 10 Julai 2010 — HALUAN Kelantan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Ugama Al Hilal (SERU AL-HILAL) telah mengadakan majlis Forum Isra’ dan Mikraj yang disertai oleh dua ahli panel iaitu Ustaz Mohd Noor bin Awang Kechik (Mantan Pensyarah Kanan UiTM Machang) dan Prof. Madya Saufi bin Ismail (Pensyarah UiTM Machang) selain dipengerusikan oleh Dr. Mansor bin Yahya bertempat di Dewan SERU Al Hilal.


Alhamdulillah, hampir 150 hadirin yang terdiri dari ibubapa dan ahli HALUAN Kelantan telah hadir memeriahkan majlis tersebut.

Menurut Prof Madya Saufi Ismail, peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan perencanaan Allah SWT setelah Rasulullah SAW mengalami banyak peristiwa tahun-tahun kesedihan dan ujian di dalam kerja dakwah. Di antara peristiwa sebelum berlakunya Isra’ & Mikraj ialah baginda telah kehilangan isteri tercinta iaitu Saidatina Khadijah yang telah banyak membantu baginda dalam misi dakwah, selain kehilangan bapa saudara baginda, Abu Talib yang telah banyak melindungi baginda di dalam perjuangan menegakkan Islam. Kemudian ditambah lagi apabila baginda berhijrah ke Tha’if, baginda telah dilontar dengan batu dan dihina. Lalu, Allah SWT membawa Rasulullah SAW berjalan melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj, perjalanan yang telah membawa makna yang cukup besar kepada umat Islam terutamanya menerima amanah ibadah solat. 

Sementara Ustaz Mohd Noor bin Awang Kechik menjelaskan bahawa peristiwa Isra’ Mikraj ini merupakan satu ujian besar bagi keimanan. Ia benar-benar menguji keyakinan kepada Allah swt. Saidina Abu Bakar , apabila mendengar peristiwa ini, beliau terus percaya tanpa sedikitpun keraguan. Beliau juga menegaskan bahawa Rasulullah merupakan pimpinan umah sehingga ke hari kiamat. Masjidil Haram di Mekah dan Masjidil Aqsa, kedua-duanya merupakan tempat tapak-tapak  perjuangan para-para nabi dan rasul-rasul. Bila kita berpijak di Masjidil Haram, penuh dengan bekas pijakan Rasulullah, tapak-tapak Amirul Mukminin, bekas tapak-tapak Siti Khadijah dan sahabat-sahabat baginda. Tapi kini adakah kita mengikuti jejak langkah mereka, perjuangan mereka. Begitu juga di Masjidil Aqsa, tempat tapak-tapak berpijak para nabi, rasul  dan para anbiya’ untuk menegakkan ajaran Allah. Sebab itulah semangat untuk membebaskan Masjidil Aqsa dari cengkaman Zionis mesti sentiasa subur di dalam jiwa setiap umat Islam. Di samping itu, beliau juga mengambil kesempatan menjelaskan matlamat perjuangan anggota HALUAN di dalam usaha menegakkan Deen Islam di muka bumi ini.

Laporan disediakan oleh Dr. Mohd Arif Rasyid (Timbalan Yang Dipertua HALUAN Kelantan)