fbpx

HALUAN Johor Semai Erti Syukur

HALUAN Johor Semai Erti Syukur

HALUAN Johor Semai Erti Syukur

KLUANG, 9 September 2012 — Bertempat di Sekolah Islam As Syddiq, Simpang Renggam, HALUAN Cawangan Johor telah mengadakan Majlis Sambutan Aidilfitri 1433H. Sekolah Islam As Syddiq yang merupakan sekolah angkat HALUAN Cawangan Johor telah dipilih menjadi tempat majlis pada tahun ini bagi meraikan para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR. Di samping para pelajar dan ibu bapa mereka, ahli-ahli HALUAN dan masyarakat di sekitar Simpang Renggam juga telah dijemput bagi memeriahkan majlis sambutan ini

Majlis ini diisi dengan solat hajat dan perasmian sebuah bangunan asrama di sekolah berkenaan. YDP HALUAN Cawangan Johor, Prof. Dr. Sr. Abdul Hakim Mohammed, dalam ucapan perasmiannya menyeru para tetamu untuk menghayati perasaan syukur, bersyukur dapat melalui Ramadhan al-Mubarak, bersyukur dapat meraikan Syawal, bersyukur untuk mendapat keputusan yang terbaik dalam UPSR dan bersyukur kerana memiliki sebuah bangunan baru.

“Rasa syukur ini kita perlu rasai walaupun kita belum menerima apa yang kita hajati,” pesan beliau kepada para pelajar yang bakal menghadapi UPSR dan ibu bapa mereka. Beliau juga menyeru agar mereka benar-benar merasai bahawa kejayaan itu pasti menjadi milik mereka, di atas keyakinan bahawa Allah akan pasti memberikan keputusan yang terbaik. Beliau telah membawa contoh kisah peperangan Khandaq, di mana Rasulullah SAW telah memberikan keyakinan kepada para sahabat RA tentang kemenangan mereka di Rom dan Parsi. Walaupun perkara itu belum berlaku tetapi itulah keyakinan yang telah tertanam di dalam jiwa mereka.

Bagi menyerikan lagi majlis ini, pertandingan mewarna turut diadakan untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Majlis Ucapan dan Perasmian asrama baru serta solat hajat berakhir sekitar jam 11 pagi sebelum para tetamu menikmati jamuan yang disediakan.


Laporan Anas Suhaib, MediaHALUAN Cawangan Johor.