fbpx

HALUAN Iftar Bersama Komuniti Rohingya

HALUAN Iftar Bersama Komuniti Rohingya

HALUAN Iftar Bersama Komuniti Rohingya

SERI KEMBANGAN, 14 Mei 2019 – Kira-kira 100 orang hadir dalam majlis berbuka puasa bersama-sama anak-anak RCEC, ibubapa dan komuniti Rohingya di Rohingya Community Educare Center (RCEC) di Seri Kembangan hari ini.

Turut bersama dalam majlis ini Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman; CEO NAMA Foundation, Dr. Saleh Bazead Saleh Mubarak; Founder Kindness Malaysia, Encik Muhammad Kamarulazizi; Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr. Baharudin Suri dan Ketua Biro HALUANITA, Dr. Zurina Muda.

RCEC merupakan sebuah pusat komuniti dan pendidikan bagi pelarian Rohingya di Malaysia. Sejak tahun 2017 pusat ini mula beroperasi, terdapat seramai lima orang guru HALUAN mendidik 30 orang anak-anak Rohingya dalam subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Burma, Pendidikan Islam dan juga Pengajian al-Quran.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNGA pada 20 November 1989 menerima pakai Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang memberikan perlindungan kepada kanak-kanak di seluruh dunia.

Berdasarkan konvensyen itu, semua kanak-kanak tanpa mengira jantina, latar belakang, status sosioekonomi, kepercayaan agama dan kebolehan diiktiraf sebagai individu yang mempunyai hak-hak asasi untuk membesar dan mendapat perlindungan dalam kehidupan mereka.

Di Malaysia untuk mencapai hasrat konvensyen, satu akta yang dinamakan Akta Kanak-kanak (2001) diluluskan oleh Parlimen untuk mengimplementasikan hasrat konvensyen berkenaan. Antara hak asasi manusia yang perlu dititik beratkan adalah pendidikan. Melihat kepada keperluan jangka masa panjang, HALUAN mengambil langkah mewujudkan RCEC ini bagi menyediakan suasana pembelajaran yang terancang dan kondusif kepada generasi muda pelarian Rohingya ini agar masa hadapan mereka lebih terbela.

Dr. Abdullah dalam ucapannya berkata, “Pendidikan adalah asas terpenting dalam kehidupan manusia. HALUAN berharap dengan bantuan dari aspek pendidikan ini, anak-anak ini mempunyai peluang yang cerah bagi meneruskan kelangsungan hidup dan berikhtiar mendapatkan sumber pendapatan buat diri serta keluarga.”

Dr. Saleh turut berkata , “RCEC merupakan satu platform untuk komuniti Rohingya bersama-sama membangun kehidupan. RCEC ini adalah untuk anda (komuniti Rohingya). Tanpa ilmu, tiada masa hadapan.”

Beliau secara tak langsung memberikan motivasi kepada ibu bapa komuniti Rohingya agar mereka menumpukan lebih perhatian dan galakkan kepada usaha pendidikan anak-anak mereka.

Majlis turut diserikan dengan perkongsian oleh Encik Muhammad Kamarulazizi sebelum majlis berbuka puasa. Beliau berkongsi bagaimana Kindness Malaysia membantu membangunkan masyarakat Rohingya khususnya di Selayang bukan hanya melalui pendidikan,tetapi juga melalui latihan-latihan kemahiran.

Projek Pusat Pendidikan Komuniti Rohingya (RCEC)

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.


Laporan mediaHALUAN