fbpx

HALUAN Hargai Penerima Anugerah Gemilang Cybernetics

HALUAN Hargai Penerima Anugerah Gemilang Cybernetics

HALUAN Hargai Penerima Anugerah Gemilang Cybernetics

SERDANG, 12 Nov 2015 — Seramai 1,449 graduan telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics pada hari Sabtu yang lalu di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia.

Majlis konvokesyen sebegini diadakan bagi meraikan kejayaan para pelajar yang telah menjadi graduan setelah menamatkan pengajian mereka dengan jayanya. Bagi para pelajar Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, Anugerah Gemilang dan Anugerah Cemerlang adalah anugerah tertinggi yang didambakan bagi mengiktiraf kejayaan mereka yang berkelayakan.

Penganugerahan ini dinilai dengan mengambil kira pencapaian akademik yang paling cemerlang dan penglibatan secara aktif dengan kegiatan kokurikulum sama ada aktiviti berpesatuan, kemasyarakatan dan juga kesukarelawanan.

HALUAN telah menjadi penaja Anugerah Gemilang bagi menghargai kesungguhan dan komitmen para graduan yang cemerlang di lapangan akademik dan pada masa yang sama turut bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Anugerah ini telah disandang oleh saudara Ezmit Ameer Shah Aziz, graduan lulusan Diploma Pengurusan Penerbangan dengan pencapaian CGPA 3.96. Beliau merupakan salah seorang sukarelawan HALUAN yang aktif dengan pelbagai aktiviti kesukarelawanan di kampus. Antara aktiviti yang pernah disertai ialah sebagai sukarelawan Misi Kemanusiaan Banjir 2015 di Kuala Krai, Kelantan dan aktiviti kemahasiswaan anjuran Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics.

Selain itu, terdapat tiga orang graduan sukarelawan HALUAN yang menerima Anugerah Cemerlang dalam bidang pengajian masing-masing, iaitu saudara Muhamad Solehin Mohd Noor, lulusan Diploma Pengurusan Penerbangan (CGPA 3.9), saudara Muhammad Hanif Akbar Madehi, lulusan Diploma Perbankan Islam (CGPA 3.96), dan saudari Nursyafiqah Amira Zaharuddin, graduan lulusan Diploma Kesetiausahaan dengan pencapaian CGPA 3.79.

Masing-masing mempunyai rekod penglibatan secara aktif dalam pelbagai aktiviti kampus dan luar kampus.

Mereka merupakan sukarelawan HALUAN yang aktif semasa di dalam kampus dalam menjayakan beberapa program seperti Solidariti Palestin, Misi Kemanusiaan Banjir, Program Kecemerlangan Akademik & Pembinaan Sahsiah Terpuji dan banyak lagi.

Penglibatan mereka di dalam aktiviti kesukarelawanan secara aktif dan turut cemerlang di lapangan akademik memberikan satu impak yang positif kepada dunia kesukarelawanan sekaligus membuktikan bahawa aktiviti-aktiviti yang bermanfaat sebegini mampu meningkatkan kompentesi pelajar bagi memberikan yang terbaik dalam kehidupan mereka.

Besar harapan, agar mereka dapat meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat di medan perjuangan masing-masing sama ada di alam kerjaya mahupun di alam menara gading kelak. Hasrat HALUAN, agar setiap ahli sukarelawan sama ada yang masih menuntut di kampus atau telah tamat pengajian dapat meneruskan sumbang bakti mereka menerusi HALUAN sama ada melalui biro-biro serta kelab-kelab HALUAN yang sesuai dengan kecenderungan dan kepakaran mereka.


Disediakan oleh Abu ‘Ubaidah Sharudin, Pengerusi Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa)