fbpx

HALUAN Gesa Bantuan Pasca Banjir

HALUAN Gesa Bantuan Pasca Banjir

HALUAN Gesa Bantuan Pasca Banjir

KUALA KRAI, 12 Jan 2015 – Bencana banjir lumpur yang mengakibatkan sebahagian besar negeri Kelantan ditenggelami air telah meninggalkan kesan yang sangat besar kepada mangsa yang terlibat. Pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan malah kumpulan mahupun individu telah terpanggil untuk menghulurkan bantuan segera sebagai menyantuni keperluan awal.

Pusat Operasi Banjir (POB) HALUAN di Kuala Krai masih lagi beroperasi hingga kini walaupun air sudahpun surut. Menurut pengarahnya Encik Mohd Jamil Muda, era bantuan kini sudah memasuki fasa yang berbeza di kebanyakan tempat. Katanya lagi, mangsa boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan:

  1. Mangsa yang kehilangan terus tempat tinggal.
  2. Mangsa yang masih mempunyai rumah sahaja tanpa sebarang peralatan asas yang boleh digunapakai.
  3. Mangsa yang mempunyai rumah tetapi masih mempunyai peralatan asas untuk memasak.

Menurutnya lagi, mereka yang kehilangan rumah akan tidur di dalam khemah dan kebasahan apabila hujan dan kepanasan apabila panas. Senario mereka yang hilang tempat tinggal dan tidur di merata tempat seperti di pasar dan surau di Kuala Krai boleh dilihat sekarang pada waktu malam. Manakala kawasan yang terjejas teruk seperti di Manik Urai mangsa masih bersesakan di pusat-pusat pemindahan. Amat berat mata memandang.

“Keperluan yang agak mendesak adalah alas tidur, selimut dan bantal agar mereka mendapat tidur yang berkualiti. Selipar juga menjadi rebutan tiap kali konvoi HALUAN melalui laluan bagi penghantaran bantuan. Set dapur juga dilihat sebagai satu keperluan yang agak mendesak agar mereka boleh menyediakan makanan untuk ahli keluarga mereka,” jelas Encik Jamil.

HALUANITA akan menyantuni keperluan kaum ibu dengan menyediakan keperluan wanita termasuk telekung, sejadah dan tudung agar mudah untuk mereka menjaga aurat. Kaum ibu kebanyakannya memasak di tempat terbuka, sekalung tahniah dan penghargaan kepada mereka yang teguh menjaga aurat.

Surau, masjid dan pusat asuhan kanak-kanak kebanyakannya sudah siap dibersihkan oleh pelbagai NGO yang datang. Kita tidak boleh mengharapkan mangsa banjir membersihkan masjid, surau dan sebagainya kerana mereka berada dalam keletihan serta trauma. Masih ada kes terpencil seperti di Kampung Kelaweh dua hari lepas di mana penduduknya baru hendak mencuci surau mereka walaupun berada dalam keadaan lemah, dek kelaparan dan dahaga.

Keperluan jangka panjang perlu difikirkan. Mereka juga hilang punca pendapatan kerana ramai di antara mereka adalah penoreh getah dan hanya melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara kehidupan. Selain menyediakan prasana dinding dan atap tempat berlindung, HALUAN menyeru orang ramai untuk terus menderma agar aktiviti pemulihan pasca bencana ini akan dapat diteruskan dengan berkesan.

“Orang Kelantan ini terkenal dengan sifat berdikari mereka zaman-berzaman. Kini Allah SWT menguji mereka dengan pahit getir di luar jangkaan sesiapa, termasuk pihak kerajaan sendiri. Apa yang perlu untuk kita sebagai masyarakat prihatin adalah membantu mereka untuk menapak semula kehidupan baru. Selepas itu, orang Kelantan akan membina semula kehidupan mereka atas hanyutan harta yang sudah diambil Allah. Mereka masyarakat yang pasrah tetapi tekun,” jelas Mohd Jamil penuh yakin.

Seruan Mohd Jamil lagi, marilah kita terus menyumbangkan kenikmatan kehidupan kita yang agak selesa dan masa kita yang agak terluang ini untuk bersama-sama saudara kita yang telah menjadi mangsa kepada banjir. Berhentilah dari sekadar menjadi penonton, pelancong dan pendengar cerita duka mangsa banjir. Maksud hadis, “Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah mereka yang memberi manafaat kepada orang lain.”

Teruskan derma anda melalui kami HALUAN Malaysia di:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 562263502611
Bank: Maybank

Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN)
No Akaun: 14023010025718
Bank: Bank Islam

Laporan mediaHALUAN
Pusat Operasi Banjir (POB) HALUAN
Kuala Krai