fbpx

HALUAN Gandingi NGO ASEAN Bantu Rohingya

HALUAN Gandingi NGO ASEAN Bantu Rohingya

HALUAN Gandingi NGO ASEAN Bantu Rohingya

JAKARTA, 10 Ogos 2012 — Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili beberapa negara ASEAN telah sepakat untuk membantu masyarakat Rohingya secara kolektif dan bersepadu. Selain daripada menghantar bantuan kemanusiaan secara berpasukan, mereka juga akan mendesak usaha diplomatik ke atas kerajaan Myanmar melalui saluran Sekretariat ASEAN.

Dalam satu mesyuarat di kalangan NGO Indonesia, Malaysia, Vietnam, Thailand dan wakil Pertubuhan Arakan yang berpengkalan di London dan Bangkok yang diadakan di sini, satu resolusi telah dirumuskan untuk membentuk jawatankuasa pendesak di peringkat NGO kemanusiaan ASEAN. Jawatankuasa tersebut akan mendesak Sekretariat ASEAN supaya bertindak terhadap kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan permasalahan yang berlarutan sejak tahun 1942 ini. HALUAN Malaysia telah diwakili oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr Baharudin Suri, di mesyuarat tersebut.

Menurut Dr Baharudin, mereka turut merangka jaringan kerjasama yang lebih kuat di kalangan NGO tempatan dan antarabangsa termasuklah NGO Buddha dari luar Myanmar. “Mesyuarat turut mengenalpasti lima NGO Islam tempatan Myanmar yang berpengkalan di Yangon. Ini satu perancangan yang baik bukan sahaja untuk menyampaikan bantuan tetapi juga bagi melaksanakan pelan pemulihan jangka panjang yang sangat memerlukan peranan NGO tempatan,” terang beliau.

Di samping itu, NGO terbabit turut bersefahaman untuk melancarkan kempen kesedaran di negara masing-masing dengan menggunakan bahan dan maklumat yang dipersetujui bersama. “InsyaAllah kita akan melaksanakan semua gerakerja secara kolektif dan menyampaikan bantuan kemanusiaan secara satu pasukan, bukan sendiri-sendiri,” jelas Dr Baharudin kepada MediaHALUAN.

Menyentuh perkembangan terkini di Myanmar, masih berlaku insiden pembunuhan dan kekejaman ke atas masyarakat Rohingya. Mesyuarat telah dimaklumkan bahawa kerajaan Myanmar masih menutup semua pintu masuk ke wilayah Arakan (Rakhine), bahkan perintah berkurung masih dikenakan ke atas masyarakat Rohingya. “Tidak ada mana-mana NGO dibenarkan masuk ke Arakan dan visa tidak dikeluarkan kepada bantuan luar kecuali berita terbaru tentang rombongan Menteri Luar Turki yang dibenarkan melawat kawasan Sittwe,” kata Dr Baharudin lagi. Lebih menyedihkan, kerajaan Bangladesh bertindak menghalang kemasukan pelarian baru ke sempadan, di mana seramai sekitar 30 ribu pelarian berdaftar dan sejuta pelarian lain yang tidak berdaftar menumpang berteduh. Negara itu tidak mahu dan menyatakan tidak mampu menampung limpahan pelarian Rohingya.

“Alhamdulillah melalui kerjasama ini kita dapati ada NGO Islam tempatan di Yangon yang berdaftar dengan kerajaan Myanmar yang bukan terdiri daripada kalangan masyarakat suku kaum Rohingya yang telah berjaya menyampaikan bantuan. Jadi, masih ada jalan untuk kita sampaikan bantuan segera kepada mereka yang sangat terdesak dan memerlukan bantuan makanan dan perubatan di Arakan,” tambah beliau.

Sebarang sumbangan ikhlas untuk membantu masyarakat Rohingya ini bolehlah disalurkan melalui “Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN” di Maybank bernombor 5622 6350 2611.