fbpx

HALUAN Fitrah Mantapkan Aktivis Negeri

HALUAN Fitrah Mantapkan Aktivis Negeri

HALUAN Fitrah Mantapkan Aktivis Negeri

BANGI, SELANGOR 12 Mei, 2012 – Bagaimana jika anda diajukan soalan sebegini oleh pastor: Adakah Tuhan Allah boleh melakukan apa-apa saja?

Soalan ini boleh saja anda dengari semasa sedang menunggu LRT atau bas, semasa membeli-belah ataupun di dalam keasyikan anda berchatting di alam maya. Kerapkali, orang Melayu Islam akan cuba menjauhkan diri daripada pastor berkenaan kerana tidak yakin dengan jawapan yang mungkin diberikan.

“Bagaimana anda akan menjawabnya? Jika anda salah menjawab, anda akan masuk perangkap yang akhirnya akan nampak kedengkelan ilmu anda serta hujah anda dimatikan saja oleh sang pastor yang sememangnya dilatih untuk mengelirukan umat Islam,” berkata jurulatih Perbandingan Agama, Ustaz Mohd Amin Yaacob semasa sesi latihan untuk ahli-ahli jawatankuasa negeri Kelab HALUAN Fitrah (KHF) di sini.

Semasa latihan sehari suntuk pada 12 Mei itu, para peserta didedahkan mengenai Sejarah Awal Perkembangan Kristian serta Perbezaan di Antara Agama Kristian dan Islam sebagai memperkasakan barisan pendakwah KHF seluruh Malaysia dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dakwah kepada non-Muslims dan mualafah di kawasan mereka.

Menurut Ketua KHF Pusat, Yusman Nawazir, latihan julung kali seumpama itu perlu bagi mempersiapkan aktivis-aktivis dakwah KHF negeri-negeri dalam menangani bukan saja isu pemurtadan terutamanya di kalangan mualaf tetapi juga untuk memampukan mereka berhujah dengan tokoh-tokoh keagamaan lain. Ustaz Amin selaku pelatih telahpun banyak kali diundang pihak gereja serta tokoh-tokoh mereka untuk berdiskusi dan berforum mengenai agama masing-masing. Beliau adalah guru teras kepada kursus Akar Umbi Kristianiti (AUK) yang diasaskan oleh PERKIM cawangan USJ-Subang Jaya di mana Sdr. Yusman pernah menjadi pengerusi cawangan tersebut.

Terdahulu daripada itu, Timbalan Ketua KHF, Wan Rafi Wan Husin telah memberikan gambaran jelas Sinopsis Agama-agama Utama di Malaysia bertujuan mendedahkan peserta kepada bentuk-bentuk aktiviti yang boleh dilakukan untuk mempositifkan masyarakat bukan Islam. Pendekatan dakwah kepada non-Muslim ini sebaiknya dilakukan dengan positif, tiada prejudis atau chauvinist, sambil mendalami selok-belok agama berkenaan untuk mencari titik-titik persamaan yang akan membolehkan pintu perbincangan dibuka tanpa konfrantasi yang boleh mengeruhkan peluang untuk mereka memahami Islam dan orang Melayu di Malaysia.

Siri latihan berikutnya akan dilaksanakan beberapa bulan lagi sebagai kesinambungan memantapkan keahlian KHF di peringkat negeri-negeri. Sehubungan itu, AJK-AJK negeri telah diarahkan untuk membentuk Jawatankuasa KHF Negeri masing-masing sebagai persediaan asas sambil meninjau peluang-peluang dakwah setempat.