fbpx

HALUAN Fitrah latih pendakwah JDK

HALUAN Fitrah latih pendakwah JDK

HALUAN Fitrah latih pendakwah JDK

Subang, Selangor  19 Nov 2011  –  Seramai 16 orang relawan Kelab HALUAN Fitrah (KHF) dari seluruh negara telah menjalani latihan untuk jurulatih (training of trainers) khusus sebagai persediaan menjadi penceramah semasa kursus Jatidiri & Kesukarelawanan Remaja (JDK) HALUAN yang akan berlangsung selama tiga minggu mulai Disember nanti.


Mereka telah dilatih dengan aspek-aspek pengendalian tujuh buah tajuk khusus termasuklah Kristianiti, Hinduisme, Buddhisme dan Agama Orang Cina, Orangasli, serta Hedonisme dan Atheisme untuk disampaikan kepada lepasan SPM yang bakal memenuhi kem-kem latihan di lima buah pusat di seluruh negara.

JDK 2011 adalah tahun ketiga program tiga minggu ini dilaksanakan oleh HALUAN Malaysia untuk melatih lepasan sekolah khusus dalam aspek-aspek jatidiri dan survival sebagai persediaan memasuki universiti nanti. Peserta akan melalui 6 modul teras iaitu Anjakan Paradigma, Kemahiran Insan dan Profesional, Kemahiran Kepimpinan Masyarakat, Kemahiran Khidmat Masyarakat, Kemahiran Asas Kewanitaan, dan Kecergasan Fizikal dan Rekreasi. Khusus dalam modul Kepimpinan Masyarakat, peserta antara lain akan diajar berkenaan tahsin solat, imam dan bilal, pengendalian jenazah serta dakwah kepada non-Muslim.

Menurut pengerusi KHF Encik Yusman Nawazir, peserta JDK akan diajak untuk menganjak paradigma agar mereka terpanggil dan tidak malu untuk berkongsi Islam dengan masyarakat kampus terutama dengan non-Muslims. Mereka akan difahamkan dengan asas-asas serta sendi agama-agama besar di Malaysia agar memudahkan interaksi antara kaum dan agama di suasana kampus nanti sambil memberi gambaran sebenar tentang Islam kepada mereka.

JDK kali ini dikembangkan buat kali pertamanya ke Sabah dan Johor, dan selebihnya di Terengganu, Perak dan Selangor. Mereka yang mempunyai anak atau adik-adik bakal lepasan SPM digalakkan untuk menyertai program bermanfaat ini dengan menghubungi Sekretariat JDK di talian 012- 3455 667 atau melayari www.jdk2011.haluan.org.my.

Kursus ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Institut Latihan Islam Malaysia dan Kolej Teknologi Darulnaim, Kelantan.