fbpx

HALUAN Fitrah Gesa Tangani Mualaf Secara Intrinsik

HALUAN Fitrah Gesa Tangani Mualaf Secara Intrinsik

HALUAN Fitrah Gesa Tangani Mualaf Secara Intrinsik

NILAI, 8 Sept 2013 — Setiap kelompok sasaran dakwah baik mualaf atau non-Muslim perlu ditangani secara intrinsik kerana setiap kelompok berkenaan ada keunikannya tersendiri.

Para da’ie yang ingin membantu membawa mereka kepada kehidupan Islam perlulah memahami aspek-aspek kebudayaan etnik dan keagamaan asal mereka. Aspek-aspek tarbiyah ruhiyah sangat penting dititikberatkan kepada mereka dan disampaikan dengan kaedah dan kadar yang bersesuaian untuk menjadikan Islam itu mudah diterima oleh kelompok berkenaan.

Menurut Pengerusi Kelab Fitrah HALUAN (HALUAN Fitrah), Dr Jamaluddin James Laeng Abdullah, tarbiyah mualaf perlu berselari dengan penjagaan kebajikan mereka detik mereka memeluk agama Islam di saat kritikal mereka menempuh pelbagai cabaran kehidupan dek pegangan aqidah yang baru itu.

“Adalah mustahil sesebuah NGO Islam akan dapat menangani kesemua keperluan mereka dari segi tarbiyah dan kebajikan secara serentak tanpa bantuan daripada luar terutamanya pihak berkuasa agama di pusat dan negeri. Kecamukan metodologi dakwah kepada mualaf dan bukan muslim kini di peringkat kronik sehinggakan berlaku pembaziran sumber, kesamaran dan gerhana dalam tindakan dan halatuju kerana tiadanya koordinasi yang baik di antara agensi-agensi dengan NGO-NGO lapangan terbabit, di samping organisasi dan individu tertentu yang melaksanakan dakwah sebegini,” berkata beliau kepada peserta Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mualaf 2013 (ICMuD) yang berlangsung pada 7-8 September di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Sepatutnya sasaran utama kita untuk dua kelompok ini adalah tarbiyah dan kebajikan; yang satu untuk memantapkan ruh dan jatidiri mereka sebagai saudara baru, dan yang satu lagi menjaga maslahat duniawi mereka semasa dalam transit menjadi seorang mualaf agar tidak tercemar dengan ugutan mahupun pemesongan pihak luar yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika membentangkan tajuk Perspektif NGO di Lapangan: Mendepani Cabaran Tarbiyah dan Kebajikan Mualaf Di Malaysia.

Sebagai salah sebuah NGO yang aktif bergerak ke arah dakwah mualaf dan bukan Islam, harapan HALUAN adalah agar pihak berkuasa agama mengendurkan prosidur birokrasi mereka dan mengambil pendekatan berbentuk kerjasama proaktif yang lebih erat dengan pihak NGO untuk memudahkan aliran transit ini. Pihak selain pihak berkuasa dan badan-badan agama juga memainkan peranan yang tidak kurang penting seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara. Perubahan sikap dan polisi perlu ditangani untuk akhirnya memenangkan dan menjayakan usaha dakwah Islamiyah di Malaysia ini, katanya lagi.

Seminar tersebut disertai hampir 100 orang peserta dari dalam dan luar negara. Ianya anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor, Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia dan KUIS sendiri selaku tuan rumah.