HALUAN Diberi Kepercayaan Teruskan RCEC Melalui Suntikan Dana NAMA Foundation
BANDAR BARU BANGI, 8 Julai 2019 — HALUAN telah menerima tambahan dana dari NAMA Foundation untuk fasa ke tiga bagi program pendidikan komuniti Rohingya menetap di Malaysia. Suntikan dana ini merupakan satu bentuk keyakinan dan kepercayaan oleh pihak NAMA Foundation kepada HALUAN bagi meneruskan usaha-usaha kemanusiaan khususnya bagi memperkasakan sektor pendidikan bagi komuniti etnik pelarian ini.
Sebuah pusat pendidikan komuniti Rohingya yang dikenali sebagai Rohingya Community Educare Center (RCEC) telah diwujudkan melalui kerjasama pintar kedua-dua badan kemanusiaan ini sejak tahun 2017. Pusat operasi RCEC terletak di Seri Kembangan, Selangor telah mendapat pengiktirafan United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) baru-baru ini mengukuhkan lagi projek pendidikan etnik ini di peringkat global.
RCEC menyediakan khidmat pendidikan asas kepada pelarian Rohingya yang tinggal di sekitarnya juga kawasan Puchong dan Serdang. Setelah hampir dua tahun pusat ini diasaskan, kini pelbagai maklum balas yang positif diterima daripada komuniti dan juga masyarakat. Perkhidmatan pembelajaran yang disediakan tidak hanya untuk anak-anak Rohingya sahaja tetapi turut melibatkan ibu bapa mereka melalui program pendidikan kekeluargaan.
RCEC sebagai satu platform pendidikan yang holistik bagi memenuhi aspek fakulti keinsanan yang seimbang meliputi kerohanian, emosi, fizikal dan intelektual khusus bagi komuniti Rohingya menjadi teras asas bagi objektif utama penubuhannya. Sebagai manusia, mereka berhak untuk mendapatkan pelindungan, layan kemanusiaan dan pendidikan yang baik. Pendidikan yang berterusan akan mengembangkan potensi komuniti Rohingya yang lebih berkemahiran, berdaya saing, berdikari dan kompetitif.
Tidak hanya itu sahaja, melihat kepada skop perancangan jangka panjang – RCEC dilihat mampu menjadi penyumbang ke arah memastikan komuniti Rohingya yang berdisiplin, bertanggungjawab dan menghormati undang-undang negara Malaysia. Secara tidak langsung, insiatif ini mampu membantu negara dalam mengurangkan masalah sosial ekonomi akibat kehadiran pelarian-pelarian ini.
Besar harapan HALUAN dan NAMA Foundation agar RCEC terus berkembang maju sebagaipusat pendidikan yang sentiasa mengutamakan nilai kemanusiaan melalui proses pembelajaran yang holistik dan melahirkan generasi pelapis komuniti Rohingya yang akan mencorakan masa depan mereka dengan lebih terjamin.
__
Laporan Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja, Biro Misi Kemanusiaan