fbpx

HALUAN Dan NGO Islam Hadir Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Timbalan Perdana Menteri

HALUAN Dan NGO Islam Hadir Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Timbalan Perdana Menteri

HALUAN Dan NGO Islam Hadir Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Timbalan Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 10 Mei 2019 – Telah berlangsung Majlis Berbuka Puasa anjuran YAB Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail bersama Ilmuan dan Pimpinan NGO-NGO Islam Malaysia bertempat di kediaman rasmi beliau Sri Satria, Putrajaya. Majlis yang berlangsung dari 6.30 petang hingga 10.30 malam telah mengumpulkan ramai tetamu di kalangan tokoh Ilmuan negara dan para pimpinan NGO Islam. Majlis yang cukup sederhana ini dimulai dengan sesi tazkirah Ramadan, berbuka puasa, solat Maghrib diikuti Isya serta solat tarawih secara berjamaah.

Tazkirah Ramadan petang itu disampaikan oleh mantan Presiden ABIM yang pertama, Prof Dr Razali Nawawi dengan kupasan tajuk yang menarik iaitu Ramadan Rahmat Untuk Ummah. Selesai solat tarawih, majlis disusuli dengan slot Bicara Khas. Dalam ucapan ringkas Timbalan Perdana Menteri, beliau amat berbesar hati dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua hadirin kerana memenuhi undangan dan berharap agar semua pihak dapat sama-sama terus berganding bahu saling bekerjasama  membangunkan Malaysia Baru ini. Beliau mengakui terdapat kelemahan dan kesulitan yang dihadapi oleh kerajaan sepanjang setahun mengemudi Putrajaya, namun kerajaan sentiasa yakin dan percaya mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat melalui kerja keras tanpa henti dan kesungguhan tidak berbelah bagi.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan Ahli Parlimen Port Dickson, Dato Seri Anwar Ibrahim yang juga suami kepada Timbalan Perdana Menteri. Beliau memulakan ucapan dengan mengimbau kembali perihal meningkatkan darjat ini bukan sekadar menang pilihanraya ataupun menubuh kerajaan.

Beliau menyatakan, “Itu adalah wasilah atau jalan untuk melaksanakan sesuatu.Tetapi untuk mengangkat darjat kita sebagai manusia mestilah dengan beberapa langkah, pertama ia berkait soal kebebasan, bebas daripada segala macam kongkongan fizikal dan mental tinggalan penjajah. Bebas jiwa dan pemikiran. Keduanya adalah pembelaan kepada setiap golongan yang memerlukan dan mengeluarkannya dari penindasan di dalam negara.”

Menurut beliau lagi, kupasan yang cetek tentang isu pembebasan dan pembelaan ini oleh mereka yang mendakwa diri sebagai pejuang agama adalah amat membimbangkan. Katanya lagi, kerajaan Pakatan Harapan menyediakan ruang kebebasan tersebut, namun begitu jika ruang itu tidak kita gunakan dengan bersungguh-sungguh maka dibimbangi ia akan dipenuhi oleh mereka yang mempunyai pemikiran yang sempit dan merosakkan.

Majlis diakhiri dengan sesi bersalaman dan ramah mesra antara YAB Timbalan Perdana Menteri dan juga Dato Seri Anwar Ibrahim bersama semua tetamu ke hormat, para ilmuan dan pimpinan NGO.

Pihak HALUAN turut dijemput dan telah diwakili oleh Pengarah Hubungan Luar, Encik Ahmad Fisal Saleh di dalam majlis yang bermakna ini. HALUAN seiring dengan pandangan bahawa para ilmuan dan NGO Islam perlu sama-sama mengisi peranan secara bersama dan kolektif bagi mewarnai corak negara Malaysia yang tercinta ini.


Laporan Unit Media HALUAN