fbpx

HALUAN Akan Teruskan Misi Bantuan Gempa Di Aceh

HALUAN Akan Teruskan Misi Bantuan Gempa Di Aceh

HALUAN Akan Teruskan Misi Bantuan Gempa Di Aceh

BANDAR BARU BANGI, 19 Dis 2016 – Bencana gempa bumi yang berlaku pada 7 Disember lepas di beberapa bahagian Aceh sudah mulai reda. Bagaimanapun, kerajaan Indonesia tetap mengekalkan tahap darurat sehingga 20 Disember ini.

Gegaran 6.5 skala Richter telah meninggalkan kesan kerosakan fizikal dan trauma psikologi kepada lebih 140,000 penduduk di daerah Pidie Jaya yang terletak 120 km dari Banda Aceh, yang merupakan daerah paling teruk dilanda gempa. Ia lebih terkesan ke atas mereka yang mengalami kematian ahli keluarga atau pun yang tercedera.

Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), sebuah NGO yang berasaskan pendidikan, kebajikan dan kemanusiaan sejak tahun 2002 telah pun menghantar dua pasukan kemanusiaan untuk membantu dalam pelbagai aspek di tempat bencana khasnya di daerah Pidie Jaya.

Selain menghulurkan bantuan awal kepada mangsa gempa, pasukan peninjau HALUAN yang berada di lapangan pada 8-11 Disember lalu telah mengumpul data bencana untuk keperluan kemanusiaan jangka pendek yang diperlukan oleh HALUAN.

Di antara keperluan mendesak adalah rawatan perubatan kepada mangsa yang tercedera serta kaunseling trauma. Pasukan kedua HALUAN yang diketuai oleh Dr Baharudin Suri merangkap Ketua Biro Misi Kemanusiaan, telah memulakan aktiviti tersebut bermula pada 13 Disember. Bersama beliau adalah seorang sukarelawan pemuda HALUAN yang membantu pelaporan berita dan dua orang sukarelawan yang membantu aktiviti motivasi serta kaunseling kepada kanak-kanak.

Rawatan pemeriksaan kesihatan dan perubatan telah dijalankan di khemah-khemah penginapan sementara serta secara lawatan ke rumah-rumah di Desa Sagoe dan yang berhampiran. Kebanyakan penduduk masih lagi mengalami gejala trauma psikologi termasuk perasaan takut, berdebar dada, sukar tidur dan kurang selera makan. Disebabkan terpaksa menginap di dalam khemah terbuka, ramai yang mengidapi gejala penyakit seperti batuk, selsema dan demam. HALUAN telah membelanjakan sebanyak RM3,500 utk rawatan mangsa di situ setakat ini.

Masalah trauma psikologi lebih parah di alami oleh kanak-kanak. Mereka masih dirundung ketakutan apatah lagi apabila berlakunya gempabumi susulan yang sering terasa setiap hari. Pasukan motivasi dan kaunseling HALUAN yang dibantu oleh relawan tempatan telah melakukan aktiviti pemulihan psikologi bersama kanak-kanak berkenaan seperti melukis, bercerita, berzikir beramai-ramai, bernasyid dan sebagainya agar mereka sentiasa riang terhibur dan mampu melupakan peristiwa ngeri tersebut.

Selain dua aktiviti utama tersebut, pasukan kedua HALUAN juga telah mengagihkan barangan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak serta keperluan khemah dan kelambu. Agihan telah disampaikan kepada lebih 250 keluarga mangsa bencana yang masih belum menerima bantuan terutamanya mereka yang tinggal jauh di kawasan pendalaman.

Pelbagai kategori kerosakan rumah dapat dilihat akibat kesan gempa. Ada yang retak, runtuh sebahagian dan malah ada yang runtuh sepenuhnya. Mereka terpaksa tinggal di dalam khemah plastik yang kurang selesa.

Dalam usaha membantu mereka yang kehilangan rumah, HALUAN bercadang untuk membina rumah sementara yang dapat melindungi ahli keluarga mereka daripada panas dan hujan. Cadangan rumah sementara yang berukuran 5m x 6m itu akan dibina daripada bahan tempatan seperti buluh, kayu terpakai ,atap rumbia dan dinding anyaman buluh serta boleh bertahan sehingga setahun sebelum pihak kerajaan membantu membina semula rumah mereka. Rumah sementara dengan anggaran kos RM1,500 ini adalah lebih selesa, selamat dan tahan berbanding dengan khemah plastik.

Pasukan pelaksana tempatan dan keluarga-keluarga yang akan menerima rumah sementara tersebut telah pun dikenalpasti di beberapa lokasi di Pidie Jaya. Untuk permulaan, pasukan HALUAN akan membina 10 buah rumah seumpamanya dalam minggu hadapan. Dengan bantuan sumbangan masyarakat di Malaysia, insyaAllah lebih banyak rumah sedemikian bakal dibina utk keluarga mangsa terbabit.

Untuk pengetahuan pihak media di Malaysia, HALUAN akan menghantar pasukan ketiganya pada 22hb Disember ini. Rawatan perubatan menjadi teras perkhidmatan kami dengan susulan bantuan makanan dan pembinaan rumah sementara ini. Untuk itu, HALUAN menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia amnya untuk menghulurkan derma ikhlas mereka agar kami dapat terus membantu manga gempabumi berkenaan di Aceh.

Sumbangan masyarakat boleh disalurkan kepada akaun:
Nama Akaun: Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Akaun No.: 5622 6350 2611
Bank: Maybank
Sila email slip/resit sumbangan dengan tajuk [Aceh] ke unit.kewangan@haluan.org.my

Untuk maklumat tambahan, sila hubungi:
Dr. Baharudin Suri, Ketua Biro Misi Kemanusiaan
+60197559169
info@haluan.org.my