fbpx

HALUAN Akan Terus Menyahut Rintihan Pelarian Somalia

HALUAN Akan Terus Menyahut Rintihan Pelarian Somalia

HALUAN Akan Terus Menyahut Rintihan Pelarian Somalia

Pada awal Julai 2011, dunia sekali lagi dikejutkan dengan bencana alam serta krisis kemanusiaan dahsyat yang melanda negara-negara ‘Tanduk Afrika’ khususnya Somalia, Ethiopia, Djibouti, dan Kenya.

Sebenarnya bencana kemarau dan kebuluran telah lama melanda wilayah tersebut tanpa diberi perhatian oleh masyarakat dunia, tetapi krisis yang begitu meruncing memaksa media arus perdana membuka pekung.

Negara-negara yang separa padang pasir ini telah mula kekurangan penurunan hujan sejak penghujung tahun 2010, lalu mengakibatkan kemarau yang terburuk sejak 60 tahun yang lalu. Hampir 12 juta manusia di wilayah tersebut hidup di ambang kebuluran dek kekurangan makanan, dan terpaksa menjadi pelarian di negara mereka sendiri.

Lebih menyayat hati lagi apabila UNCHR menganggarkan puluhan ribu kanak-kanak telah mati akibat kehausan, kelaparan dan malnutrisi serta serangan pelbagai penyakit berjangkit. Negara Somalia adalah yang paling terjejas kerana hampir 4 juta penduduknya, terutama di bahagian tengah dan selatan, terpaksa berpindah ke kem-kem pelarian di sempadan negara jiran. Keadaan menjadi semakin meruncing akibat pergolakan sosio-politik dalaman di Somalia yang berlarutan sejak awal 90-an. PBB telah mengarahkan bantuan makanan, perubatan dan tempat tinggal disalurkan dari serata dunia dengan kadar segera sebelum lebih ramai lagi kanak-kanak mati kebuluran.

Usaha Bantuan Oleh HALUAN Malaysia

HALUAN Malaysia sudah berpengalaman menghantar pasukan bantuan kemanusiaan yang terdiri daripada doktor, paramedik, kaunselor, motivator dan pekerja sosial ke tempat kejadian bencana-bencana seperti bencana tsunami di Acheh dan Sri Lanka pada tahun 2004, gempabumi di Pakistan pada tahun 2005, gempabumi di Sichuan, China pada tahun 2008, gempabumi di Sumatera Barat pada tahun 2009, bencana letusan Gunung Merapi pada tahun 2010, dan terkini bencana gempabumi di Van dan Ercis di Turki pada tahun 2011 dan banjir besar di Thailand pada tahun yang sama.

Di dalam negara pula, HALUAN telah menggerakan para sukarelawannya dalam setiap bencana banjir yang melanda sejak tahun 2006, termasuklah bencana banjir besar di Johor pada awal tahun 2011.

Berdasarkan kepada pengalaman tersebut dan senario yang sedang berlaku di Somalia, HALUAN Malaysia telah melancarkan program Talian Hayat Pelarian Somalia (THPS) yang bermatlamat untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia membantu pelarian Somalia dan seterusnya menghantar pasukan bantuan ke kem-kem pelarian di mana mangsa-mangsa kemarau dan kebuluruan ditempatkan. Pelbagai kempen dan ceramah telah dilaksanakan untuk merayu simpati dan bantuan daripada masyarakat umum.

HALUAN telah mendapat kerjasama dari Kementerian Luar Negara (Wisma Putra), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, UNCHR dan badan-badan bukan kerajaan antarabangsa untuk melaksanakan misi bantuan kemanusiaan di Somalia.

Pasukan pertama relawan THPS yang terdiri daripada Dr Baharudin Suri, En Yusman Nawazir dan En Mohd Akhir Ahmad telah berlepas dari Kuala Lumpur melalui Nairobi ke kem pelarian Dadaab, di sempadan Kenya-Somalia pada 1 hb September 2011. Manakala pasukan kedua yang terdiri daripada En Nizam Awang, Dr Mohd Arbaei Shawal dan En Abu Ubaidah Musa telah berkhidmat di kem pelarian Dadaab dari 7hb hingga 18hb Oktober 2011.

Mengapa HALUAN Malaysia memberi tumpuan melaksanakan bantuan kemanusiaan di Kem Pelarian Dadaab? Kem ini merupakan sebuah kem pelarian yang terbesar di dunia. Ia diselenggarakan oleh UNCHR sejak tahun 1993, dan sejak bencana kemarau kali ini kem tersebut terpaksa lebih 700 ribu pelarian Somalia. Kem ini menjadi tumpuan pelarian yang berjalan kaki ratusan batu bagi mendapatkan bantuan, di mana purata 1000 orang pelarian Somalia tiba setiap hari.

Dalam melaksanakan bantuan kemanusiaan di sini, HALUAN menjalin kerjasama erat dengan Northern Kenya Empowerment Initiative (NKEI,) sebuah badan bukan kerajaan tempatan, dan Insani Yardim Vakfi (IHH,) sebuah badan bukan kerajaan dari Turki.

rintih-somalia-04
rintih-somalia-05
HALUAN Malaysia telah memberikan khidmat bantuan kepada pelarian Somalia dalam pelbagai bentuk dan cara, termasuklah:

bantuan bungkusan makanan asasi seperti beras, gandum, minyak masak, susu dan bijiran yang bernilai lebih kurang RM200 kepada setiap keluarga pelarian bagi kitaran tempoh 3 minggu,
rawatan perubatan terutamanya kepada kanak-kanak dan kaum wanita yang mudah mendapat penyakit akibat kebuluran, malnutrisi dan skait yang lama dibiarkan tanpa mendapat rawatan,
bantuan membuat kediaman sementara kepada keluarga pelarian yang baru tiba di kem pelarian,
pembinaan pondok pengajian yang dipanggil “duksi” bagi memudahkan kanak-kanak pelarian Somalia meneruskan pendidikan, dan
bantuan dalam pembinaan sumber air bersih di kawasan-kawasan penempatan baru di dalam kem.

Rakyat Malaysia telah berpeluang untuk membantu pelarian Somalia di kem pelarian Dadaab dengan penyertaan yang amat memberansangkan dalam program Ibadah Korban 1432H. Dengan kerjasama Biro Kebajikan HALUAN, sebanyak 1701 ekor kambing dan 45 ekor unta dengan nilaian hampir RM 350,000 telah disumbangkan oleh rakyat Malaysia semasa sambutan hari mulia Aidiladha tersebut.

Pasukan relawan HALUAN Aidiladha 1432H yang terdiri daripada Dr Baharudin Suri dan Hj Ibrahim Abd Rahman turut disertai oleh 3 orang relawan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor iaitu Hj Md Kassim Ahmad, Hj Ahmad Othman dan Yusma Yusuf telah berada di Dadaab dari 1hb hingga 7hb November 2011.

Aktiviti-aktiviti korban dilaksanakan di beberapa tempat di dalam kem pelarian Dadaab. Program korban ini dijayakan dengan kerjasama NKEI, IHH, dan juga sebahagian pelarian Somalia sendiri. Daging-daging korban yang telah diagihkan terus kepada setiap keluarga pelarian di dalam khemah-khemah mereka. Inilah kali pertama aktiviti ibadah korban dilaksanakan oleh HALUAN Malaysia di luar negara dengan skala yang besar dan diagihkan terus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.


Misi Bantuan berterusan dari HALUAN Malaysia

Walaupun musim hujan telah tiba pada pertengahan November yang lalu, pelarian Somalia masih tidak berupaya untuk pulang ke kampong halaman masing-masing. Hujan tidak lagi turun sejak awal tahun ini, dan skala kemusnahan yang teruk akibat kemarau yang berpanjangan telah melumpuhkan kehidupan keluarga mereka apabila hampir semua kawasan tanaman dan ternakan yang menjadi sumber utama penghidupan turut musnah.

Proses pemulihan yang tentunya akan mengambil masa yang panjang diburukkan lagi dengan pergolakan sosio-politik yang semakin meruncing. Penglibatan tentera asing sebagai pasukan pengaman dan ketiadaan kerajaan sendiri memburukan lagi pemulihan aktiviti pertanian, penternakan dan program-program ekonomi yang lain. Dengan demikian, lebih dari setengah juta rakyat Somalia yang mendiami kem-kem pelarian di dalam dan di negara jiran masih lagi memerlukan bantuan dari luar negara untuk meneruskan kehidupan mereka.

HALUAN Malaysia dengan sokongan bantuan dari rakyat Malaysia yang prihatin merangka program bantuan kemanusiaan yang berterusan pelarian Somalia yang berada di kem pelarian Dadaab, sempadan Somalia-Kenya dan kem-kem pelarian lain yang berhampiran. Masalah kekurangan makanan yang membawa kepada kebuluran dan masalah kesihatan terutamanya kanak-kanak dan kaum wanita merupakan dua aspek bantuan yang akan menjadi tumpuan utama HALUAN Malaysia.

Tim sukarelawan perubatan akan melaksanakan bantuan rawatan di Komplek Hospital Lapangan yang telah dibina di kem IFO 2, salah sebuah kem pelarian Somalia di Dadaab. Tugasan rawatan perubatan ini akan dilaksanakan bersama dengan pasukan-pasukan perubatan antarabangsa lain yang diterajui oleh pertubuhan perubatan Alliance of International Doctors (AID). Satu pasukan perubatan HALUAN akan dihantar setiap 2 bulan secara bergiliran, di mana setiap pasukan akan berbakti selama 2 minggu.

Selain daripada bantuan perubatan dan kesihatan, HALUAN Malaysia akan meneruskan pemberian bantuan makanan asasi dan pembinaan pusat asas pembelajaran (dugsi) untuk pendidikan anak-anak mereka. Untuk meneruskan bantuan tersebut di atas, HALUAN Malaysia mengharapkan sokongan dan sumbangan berterusan dari rakyat Malaysia yang prihatin untuk terus membantu pelarian Somalia, yang hampir semuanya beragama Islam, meneruskan serta membina semula penghidupan mereka.

Dr Baharudin Suri
Ketua Biro Misi Kemanusiaan
HALUAN Malaysia
Email: drbbsjb@gmail.com