
HALUAN Agih Bantuan Awal Untuk Mangsa Banjir di Sarawak
BINTULU, 11 Feb 2025 – HALUAN Malaysia dengan sokongan dana daripada Yayasan Hasanah telah mengagihkan bantuan di daerah Bintulu sebagai langkah awal untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa banjir di Sarawak.
Dalam agihan pertama, seramai 39 keluarga mualaf di Sg. Plan telah menerima sumbangan pek makanan asas bagi memenuhi keperluan harian mereka. Barang-barang yang diagihkan termasuk beras, biskut, teh, minyak masak, garam, tepung dan keperluan dapur lain. Majoriti penerima di sini adalah daripada kaum Iban dan Melanau.
Sebanyak 10 pek makanan tambahan juga disalurkan kepada keluarga mangsa di Taman Jason Fasa 2. Usaha pengagihan ini turut dibantu oleh Ketua Unit Saudara Kita (USK), Puan Amiyrah Abdullah. USK adalah sebuah NGO di bawah Jabatan Agama Islam Sarawak.
Banjir luar biasa yang bermula pada 29 Januari lalu dikatakan sebagai yang terburuk dalam sejarah negeri Sarawak, susulan hujan berterusan selama dua hari di beberapa tempat termasuk Bintulu, Serian, Samarahan, Kuching, Miri dan Sibu.




Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat
HALUAN Malaysia