fbpx

Halakah Keluarga HALUAN Zon Timur Diperkasa

Halakah Keluarga HALUAN Zon Timur Diperkasa

Halakah Keluarga HALUAN Zon Timur Diperkasa

KOTA BHARU, 11 Sept 2015 – Biro Pembangunan Keluarga & Remaja HALUAN CawanganKelantan telah menganjurkan program Pelancaran Halakah Keluarga peringkat Zon Timur pada 11 September 2015 di Sekolah Rendah Islam Al Hilal, Kota Bharu. Program ini telah dihadiri seramai lebih 100 orang peserta yang terdiri dalam kalangan ahli HALUAN dan ibubapa.

Antara objektif program ini dianjurkan adalah untuk memberikan pendedahan kepada ibubapa tentang kepentingan halakah keluarga dalam membentuk peribadi anak-anak dan menjadikan Islam sebagai sistem hidup. Selain itu, ia juga adalah inisiatif untuk memperkenalkan sistem pelaksanaan halakah keluarga dengan lebih terancang dan pengenalan buku serta modul pelaksanaan yang lebih efektif.

Program ini telah bermula seawal pukul 9.30 pagi dimulai dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah Program, Encik Mahmud Jaafar dan disusuli bacaan Al Quran oleh Encik Mohd Afham Mohd Ariff. Majlis ini dirasmikan oleh Encik Kamarudin Deraman, Naib YDP 2 HALUAN Cawangan Kelantan. Beliau menegaskan bahawa tarbiah memainkan peranan yang amat penting dalam melakukan sebuah perubahan dan pembentukan peribadi serta sahsiah ahli keluarga. Tegas beliau lagi, halakah keluarga adalah tunjang kepada proses pendidikan bagi sesebuah keluarga dalam usaha mewujudkan iklim rumah tangga yang kondusif untuk anak-anak.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian oleh tetamu jemputan, En Rosdi Baharom yang merupakan perunding kekeluargaan HALUAN. Memetik kata-katanya yang cukup bernilai “Tanggungjawab ibubapa adalah untuk menyediakan anak-anaknya menjadi calon ahli syurga. Maka halakah keluarga menjadi salah satu kewajipan untuk membentuk sakhsiah anak-anak.”

Program ini diakhiri dengan slot dialog antara peserta dengan panel jemputan. Antara panelis lain yang hadir adalah Encik Ibrahim Abd Rahman selaku Ketua Biro Pembangunan Keluarga & Remaja HALUAN dan Encik Ghazali Saad. Para hadirin berpeluang berinteraksi dengan para panel berkaitan pembentukan halakah keluarga secara lebih dekat dan mesra.

Besar harapan pihak penganjur agar institusi keluarga bagi setiap ahli HALUAN dapat diperkasakan lagi dengan memperkemaskan aktiviti pendidikan keluarga melalui perlaksanaan halakah keluarga secara efesien dan berkala. Semua ini adalah menjadi medan bagi melahirkan anak-anak yang soleh lagi musleh dan seterusnya mampu memikul tanggungjawab yang besar bagi mengangkat syiar Islam di muka bumi Allah SWT.


Laporan disediakan Mohd Afham Mohd Ariff, Setiausaha Program