fbpx

Graduan Tempuhi Cabaran Kerjaya di HAK 2019

Graduan Tempuhi Cabaran Kerjaya di HAK 2019

Graduan Tempuhi Cabaran Kerjaya di HAK 2019

BANDAR BARU BANGI, 3 Julai 2019 — Kursus dua hari satu malam Hijrah Alam Kerjaya (HAK) 2019 yang mensasarkan graduan bekas didikan HALUAN berlangsung pada 29 dan 30 Jun lepas di sini.

Ia bertujuan untuk memastikan kesinambungan dakwah dan tarbiah setelah seseorang itu memasuki alam kerjaya serta memberi pendedahan tentang ilmu dan kemahiran yang diperlukan dalam persekitaran kerja. Seramai 32 peserta yang terdiri daripada pelajar tahun akhir pengajian, graduan dan juga pemuda-pemudi yang baru bekerja selama dua tahun telah menyertai HAK pada kali ini.

Kursus  ini dianjurkan bersama oleh Biro Pemuda HALUAN, Biro HALUANITA dan juga Kelab Siswa HALUAN. Turut hadir adalah YDP HALUAN Putrajaya, Encik Baderol Allam Awang yang telah merasmikan program HAK 2019 serta menyampaikan ucaptama beliau bertajuk “Halaqah Teras Kesinambungan Tarbiah.”

Program hari pertama bermula dengan taklimat dan heart setting yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Ahmad dengan tajuk “Saya akan Hidup Sebagai Dai”. Seterusnya, ucaptama dan perasmian berlangsung. Pembentangan kertas kerja 2 oleh Prof. Dr. Mohd Zamrin Dimon menyentuh tajuk “Fungsi dan Peranan di Tempat Kerja.” Bengkel lewat petang dengan bertemakan “HALUAN Sebagai Medan Amal Islami” telah dikendalikan oleh Encik Hasri Ahmad bersama dua orang panel dari kalangan pemuda dan pemudi HALUAN. Jadual hari kedua turut menarik minat peserta.

Dalam ucaptama beliau, Encik Baderol Allam menerangkan pengertian halaqah yang  merupakan kaedah terpenting untuk melahirkan keperibadian Islam dan mendidik jiwa agar lebih menjiwai konsep dakwah. Prof. Dr. Mohd Zamrin pula menyarankan peserta supaya mengenal pasti sifat kepimpinan dalam diri dan menguasai kemahiran komunikasi agar sentiasa tetap berada di tempat yang betul, posisi yang betul dan dalam keadaan yang betul.

Sesi dialog bersama tetamu jemputan mencetuskan pelbagai persoalan dan jawapan berkenaan alam kerjaya yang sedang dan bakal ditempuhi.

“Diskusi ilmiah antara anak muda dan para veteran HALUAN ini wajar dilakukan secara kerap kerana pengalaman tidak dapat dibeli dan wajar dikongsi dengan kami. Sesi makan malam bersama ini  paling seronok,” berkata salah seorang peserta HAK 2019.

__
Laporan  Maryam Kamilah Ahmad Sani, Setiausaha HAK 2019