fbpx

Gabungan NGO Asean Akan Bina Sistem Bekalan Air Berpusat Untuk Pelarian Rohingya di Teknaf

Gabungan NGO Asean Akan Bina Sistem Bekalan Air Berpusat Untuk Pelarian Rohingya di Teknaf

Gabungan NGO Asean Akan Bina Sistem Bekalan Air Berpusat Untuk Pelarian Rohingya di Teknaf

BANDAR BARU BANGI, 20 Okt 2017 — HALUAN melalui kerjasama erat bersama lebih 100 buah NGO di bawah program Sinar4Ronghiya merancang usaha menambaik baik projek menggali telaga tiub untuk pelarian Rohingya di kem-kem sekitar daerah Teknaf dengan pembinaan sistem bekalan air berpusat.

Demikian dijelaskan oleh ketua misi pasukan kedua HALUAN, Abd Bashir Abd Ghani, yang selamat pulang dari Teknaf bersama dua lagi relawan HALUAN, Abd Halim Khudri dan Utbah Syafie, setelah menjayakan misi bantuan di sana selama seminggu.

Di Teknaf, mereka bergandingan dengan relawan-relawan dari Yayasan Amal Malaysia, Serantau Muslim dan wartawan Sinar Harian untuk menunaikan amanah bantuan masyarakat Malaysia untuk pelarian Rohingya. HALUAN telah berjaya mengagih kit kebersihan diri yang keseluruhannya bernilai RM40.000. “Walau bagaimanapun bantuan ini tidak mencukupi dengan sekali agihan sahaja,” tegas Abd Bashir. “Mereka memerlukan bantuan secara terancang dan menyeluruh, yang saling lengkap-melengkapi keperluan asas harian.”

Abd Bashir bersama pasukannya turut berjaya membina 70 unit telaga tiub. “Untuk penambahbaikan, kita akan membina tangki air berpusat di mana bekalan air disedut melalui pam yang menggunakan kuasa elektrik dari bateri solar,” jelas beliau lagi. “Kita masih memerlukan bantuan untuk membina telaga tiub, dan sumbangan tersebut akan kita satukan untuk membina sistem tangki air dan tandas berpusat.”

Usaha gabungan Sinar4Ronghiya akan menjadi lebih tersusun dengan rancangan untuk mewujudkan “Asean Village” di Teknaf, di mana mereka akan membina pondok penginapan, masjid, sekolah, pusat rawatan kesihatan, telaga tiub, tandas dan bekalan elektrik menggunakan sel solar. Rancangan ini akan dilaksana dengan kerjasama badan-badan kebajikan dari negara Asean yang lain termasuk Indonesia dan Thailand.

Dari pengalaman mereka berada di lapangan bersama pelarian Rohingya, Abd Bashir menggariskan beberapa isu yang perlu mendapat bantuan dan diberi tindakan segera.

Antaranya, kemudahan infrastruktur asas seperti pembinaan tangga konkrit bagi menggantikan tangga yang menggunakan beg plastik berisi tanah. Tangga sedia ada itu sangat merbahaya dan licin di musim hujan, lebih-lebih lagi kawasan kem yang berbukit-bukit. Selain dari itu, sistem peparitan dan tandas yang teratur juga perlu dibina segera.

Mereka juga memerlukan bekalan air bersih berpusat yang menggunakan pam air elektrik dari sel solar, memandangkan telaga tiub individu lebih cepat rosak dan dibiarkan terbengkalai setelah tidak berfungsi.

Abd Bashir turut mengusul cadangan supaya setiap keluarga pelarian diberi bantuan untuk menanam sayur dan buah-buahan, seperti jagung dan ubi, untuk menggalakkan mereka berdikari.

Marilah kita berganding bahu membantu mangsa keganasan tentera Myanmar ini agar mereka dapat bertahan dan kembali hidup dengan lebih sempurna. Sumbangan anda boleh disalurkan melalui

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad.

Sila emel resit bayaran ke unit.kewangan@haluan.org.my dengan tajuk “Sinar4Rohingya”.


Disediakan oleh Abd Bashir Abd Ghani, Ketua Unit Rohingya, Biro Misi Kemanusiaan HALUAN.