fbpx

Food Flotilla For Myanmar Akan Diteruskan Atas Dasar Kemanusiaan

Food Flotilla For Myanmar Akan Diteruskan Atas Dasar Kemanusiaan

Food Flotilla For Myanmar Akan Diteruskan Atas Dasar Kemanusiaan

BANDAR BARU BANGI, 5 Januari 2017 — Food Flotilla for Myanmar anjuran koaliasi NGO Malaysia dan antarabangsa akan diteruskan dengan pendekatan dan dasar yang termaktub dalam Deklarasi Hak Kemaknusiaan Antarabangsa.

Tujuan Flotilla adalah untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa pelarian konflik di Myanmar terutama di kawasan Maungdaw.

Sehingga kini ribuan pelarian telah kehilangan tempat tinggal samada di dalam Myanmar mahupun yang dapat menyelamatkan diri ke Bangladesh. Mereka tidak mempunyai perlindungan, makanan, kit penjagaan diri, ubat, alat rawatan, pakaian, selimut dan khemah serta keperluan harian.

Flotilla ini dijangka akan berlayar pada 3 Februari 2017 ini dan akan diturut serta oleh sekitar 200 orang terdiri daripada delegasi lebih 40 NGO dan 20 media Malaysia dan antarabangsa. Peserta NGO dari negara seperti Thailand, Indonesia, Turki, China, Perancis, Belanda, Bangladesh, Kemboja, Kuwait dan UK akan turut serta menjadi saksi.

Dijangkakan sebanyak 2,000 tan bantuan kemanusiaan akan dibawa di dalam kapal yang akan berlayar lebih 3,000 km (1,600 batu nautika) itu. Bantuan kemanusiaan adalah dikumpulkan daripada sumbangan orang awam, NGO, pihak korporat serta agensi kemanusiaan yang dianggarkan bernilai lebih daripada RM2 juta.

Bantuan tersebut dijangkakan akan dapat diedarkan kepada lebih 50,000 pelarian Rohingya di dalam Myanmar serta di kem pelarian Teknaf di sebelah Bangladesh. Di samping menghantar bantuan, peserta Flotilla sedang disiapkan untuk melakukan pelbagai tugasan untuk memastikan kerja dilaksanakan dengan sempurna seperti melakukan khidmat rawatan, mengedar bantuan, memenuhi keperluan wanita dan kanak-kanak, membantu mendirikan khemah dan tempat beribadah sementara.

Sehingga ini, sebuah kapal dari Malaysia telah muktamad diperolehi untuk menjayakan Flotilla dengan muatan 2,000 tan. Hampir 80% persiapan Flotilla sudah dapat disempurnakan setakat ini.

Misi pelayaran Flotilla ini dijangka akan mengambil masa 15-19 hari pergi dan balik dan akan merentas lautan Andaman dan Teluk Bengal.

Beberapa pilihan laluan sedang dipertimbangkan untuk flotilla ini berlayar dari Pelabuhan Klang sehingga Maungdaw. Berdasarkan kepada keadaan pelabuhan yang ada di Rakhine, Myanmar, pihak kami sedang berunding dengan pihak berkuasa Malaysia, Myanmar dan Bangladesh untuk mendapat laluan yang selamat dan mudah untuk menyampaikan bantuan tersebut.

Kami merancang untuk memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan secara langsung daripada delegasi Flotilla kepada mangsa di mana mereka berada. Hasrat kami adalah untuk melihat secara terus, barang bantuan sampai ke tangan mangsa, bukan kepada pihak ketiga.

Urusetia Flotilla sudah mengutuskan surat kepada Setiausaha Agung PBB, OIC dan Asean serta beberapa ketua negara seperti Turki, Indonesia, dan Arab Saudi supaya turut menyokong dan membantu demi menjayakan flotilla tersebut.

Penganjur utama flotilla iaitu Mapim, KP1M dan TDV Turki bersepakat bahawa kami tidak akan melanggar undang-undang negara Myanmar dan undang-undang antarabangsa. Kami hanya mahu diberikan akses untuk menyampaikan sendiri bantuan tersebut. Pihak berkuasa Myanmar perlu menghormati usaha NGO dari pelbagai negara tersebut supaya penyelesaian yang muktamad dapat dicapai bagi warga Rohingya yang telah menderita sekian lama.

Sebagaimana tercatat dalam Deklarasi Hak Manusia Asean, bahawa setiap nyawa awam hendaklah dilindungi, maka Flotilla meminta agar objektif utama misi ini untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan diberi laluan dan kerjasama sepenuhnya oleh pihak berkuasa Myanmar.

Kami juga menegaskan bahawa kami menghormati kedaulatan negara Myanmar tetapi dalam masa yang sama kami juga meminta negara tersebut juga mematuhi hak orang awam yang menjadi mangsa dalam konflik tersebut agar dilindungi. Ini termasuk memberi akses kepada agensi dan mana-mana NGO kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa tidak kira bangsa ataupun agama.

Kami menegaskan bahawa konsep misi ini adalah demi kemanusiaan untuk siapa sahaja yang memerlukan bantuan. Misi ke Myanmar adalah juga membawa mesej untuk membantu, bukan untuk berkonfrantasi.

Kami mahukan rantau yang aman dan harmoni antara agama, bangsa dan budaya. Flotilla ini adalah simbolik kepada inisiatif rakyat kepada rakyat.

MOHD AZMI ABDUL HAMID, President MAPIM