fbpx

Flash Mob 4 Gaza Kumpulkan Lebih RM4,600

Flash Mob 4 Gaza Kumpulkan Lebih RM4,600

Flash Mob 4 Gaza Kumpulkan Lebih RM4,600

CHERAS, 30 Nov 2012 – Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Wilayah Tengah dengan kerjasama Biro HALUAN Palestin telah mengadakan Flash Mob dan kutipan dana bantuan kecemasan Palestin di beberapa tempat sekitar Selangor. Antara tempat yang dituju ialah Masjid KUIS Bangi, Masjid Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Stesen KTM Kajang, Stesen KTM Serdang, dan Stesen KTM Bandar Tasik Selatan.

Objektif aktiviti ini adalah untuk menyebarkan maklumat terkini mengenai keadaan yang berlaku di Gaza, menyedarkan masyarakat akan keperluan bantuan kecemasan yang diperlukan oleh rakyat Gaza dan mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Gaza. Aktiviti ini telah dijayakan oleh 23 orang belia relawan HALUAN yang terdiri daripada Pemuda HALUAN dan HALUANSiswa.

Aktiviti ini mensasarkan ahli kariah masjid dan orang awam yang menggunakan perkhidmatan tren dan bas di beberapa stesen KTM. Aktiviti bermula sebelum solat Jumaat di masjid, kemudian bergerak ke Stesen KTM Kajang antara jam 4.30 hingga 5.30 petang. Aktiviti ini diteruskan ke Stesen Serdang pada jam 5.45 hingga 6.20 petang. Seterusnya tempat terakhir ialah Stesen KTM Bandar Tasik Selatan dari jam 6.30 petang hingga 11.00 malam.

“Aktiviti ini telah memberi banyak pengalaman kepada saya betapa pentingnya membantu rakyat Palestin melalui kutipan dana daripada orang awam di Malaysia. Di samping itu kami sebagai generasi muda dapat belajar mengikis perasaan malu demi membela Palestin,” berkata Muhammad Nasrullah Tahir, seorang sukarelawan yang menjayakan program ini.

Aktiviti seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang dan dilaksanakan oleh belia relawan HALUAN di negeri-negeriyang lain bagi menyedarkan masyarakat mengenai situasi yang menimpa Gaza dan memudahkan masyarakat menyalurkan sumbangan mereka kepada mangsa-mangsa perang di sana.

Sumbangan boleh dibuat kepada “Tabung HALUAN Palestin” di BIMB – 14 023 01 003429 2 atau MAYBANK – 5644 9020 8528.


Laporan oleh Muhammad Amirul Hakimin Mohamed, Belia Relawan HALUAN Wilayah Tengah