fbpx

Fasa Pembersihan Bermula Di Temerloh

Fasa Pembersihan Bermula Di Temerloh

Fasa Pembersihan Bermula Di Temerloh

pahang-4-01TEMERLOH, 2 Jan 2015 – Pada hari Jumaat yang diberkati ini, cuaca di Temerloh sangatlah baik. Panas terik dari pagi hingga ke hujung petang. Hasilnya, paras air banjir telah menyurut dengan cepat, hingga hampir empat kaki.

Ramai mangsa-mangsa banjir telah mula pulang ke rumah masing-masing dari pusat-pusat penempatan dan rumah-rumah penginapan sementara bagi menguruskan pembersihan rumah mereka.

Oleh itu, perancangan awal yang dibuat untuk baki sukarelawan HALUAN pada hari itu iaitu untuk mengagihkan bahan-bahan keperluan, telah ditukarkan kepada operasi membersihkan rumah-rumah dan institusi-institusi masyarakat. Apatah lagi sementara menanti tambahan serta gantian sukarelawan dan bekalan bahan agihan daripada Pusat Operasi Banjir HALUAN di Bandar Baru Bangi, yang dijangka akan tiba di Temerloh bila-bila masa pada hari Sabtu ini.

Kami berpendapat bahawa keutamaan kerja-kerja pembersihan haruslah ditumpukan kepada rumah-rumah pemimpin masyarakat setempat serta institusi-institusi masyarakat dan rumah-rumah orang ramai yang memerlukan, secara berturutan. Ini adalah kerana pemimpin masyarakat seperti penghulu, ketua kampung serta imam yang menjadi mangsa banjir akan dapat segera berfungsi memberikan sumbangan bermakna dan berfokus hanya setelah urusan pembersihan di rumah-rumah mereka telah selesai. Begitu juga dengan pembersihan masjid, surau, sekolah dan tadika di mana ia perlu berfungsi secepat mungkin.

Oleh kerana gerak kerja operasi banjir memerlukan tenaga kerja yang ramai, maka pasukan sukarelawan HALUAN pada hari ini tidak dibahagikan kepada pasukan-pasukan seperti selalu. Malah tenaga mereka telah disinergikan bagi memberikan hasil yang maksima.

Kami menyelesaikan tugasan di beberapa buah rumah di situ kira-kira sejam sebelum waktu zohor. Selepas membuat persiapan diri, kami telah pergi menunaikan solat fardhu Jumaat di Masjid Taman Temerloh Jaya, Temerloh.

Suasana di masjid ini amatlah berbeza dengan suasana di masjid-masjid yang lain. Kemah-kemah telah didirikan sekitar masjid bagi menampung limpahan jumlah masyarakat yang telah meningkat berkali ganda untuk menunaikan solat di sini. Kebetulan khutbah Jumaat pada hari itu telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

Kami dikhabarkan bahawa Masjid Taman Temerloh Jaya ini tidak ditenggelami air seperti masjid-masjid lain di sekitarnya. Walau bagaimanapun ketika paras banjir sedang memuncak, masjid ini telah terkepung oleh banjir di sekelilingnya hingga terputus jalan perhubungan.

Kami juga dikhabarkan bahawa pada Jumaat minggu sebelum ini, masjid ini telah mengadakan solat hajat bagi memohon rahmat Ilahi. Suasana ketika solat tersebut amatlah pilu, dengan ramai ahli jamaah masjid yang telah menitiskan air mata dalam rintihan mereka kepada Allah SWT. Dan syukurlah Allah SWT mengabulkan permintaan mereka dengan meringankan bebanan mereka serta menyurutkan paras banjir di sekitar Temerloh sejak dari hari itu.

Pada sesi petangnya, kami meneruskan kerja-kerja pembersihan di institusi-institusi masyarakat. Tumpuan kami ialah sebuah Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang beroperasi di dua unit rumah teres dua tingkat di Taman Bahagia, Temerloh. Ketika di situ, kami telah melakukan pembersihan di tingkat-tingkat bawah institusi tersebut, agar operasi-operasi masyarakat dapat diteruskan di situ seberapa segera.

Kami kemudiannya telah mendapat permintaan daripada seorang ahli masyarakat di sekitar KAFA tersebut untuk membantu membersihkan rumah kediamannya. Rumah itu milik Puan Kamariah Hassab, 54 tahun, yang tinggal bersama dua orang anak perempuannya dan seorang ibu yang sedang sakit. Sambil mengucapkan penghargaan kepada HALUAN, Puan Kamariah turut sama menyatakan pengharapan beliau kepada orang ramai. Katanya, “Saya berharap agar lebih ramai lagi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta agensi-agensi kerajaan yang dapat membantu meringankan bebanan kami untuk membersihkan rumah masing-masing.”

Selesai sahaja pembersihan di rumah Puan Kamariah tersebut, hari sudah pun lewat petang. Suasana yang dapat kami perhatikan di situ ialah penduduk-penduduk berasa ceria kerana dapat kembali ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun di sebalik wajah-wajah mereka yang ceria itu, ada perasaan pilu yang mereka tidak dapat sembunyikan. Kepiluan yang hanya dapat diubati dengan bantuan dan sumbangan saudara-saudara seagama mereka, yang menyatakan simpati bukan sekadar secara lisan semata-mata malah dibuktikan dengan tindakan serta sumbangan tenaga, wang ringgit dan barang-barang keperluan.

Bagi mereka yang prihatin untuk menyumbangkan bantuan boleh terus menghubungi pihak HALUAN di Pusat Operasi Banjir (POB) yang beroperasi 24 Jam di Bandar Baru Bangi di talian 011–31746909 (Encik Izzat Abd Ghani) atau melalui akaun-akaun di bawah ini:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 562263502611
Bank: Maybank

Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN)
No Akaun: 14023010025718
Bank: Bank Islam

  • Sila email slip/resit sumbangan ke unit.kewangan@HALUAN.org.my

Berakhlak, Mendidik, Berbakti

Laporan Musab Saari.